Jenayah

Lari bogel takut punya pasal

Jerantut: Walaupun dirinya negatif dadah, namun disebabkan bimbang dicekup seorang lelaki nekad melarikan diri tanpa seurat benang selepas rumahnya dikepung anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam Ops Gempur di FELDA Sungai Retang, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, bekas penagih dadah berusia 26 tahun itu yang tinggal bersama ibunya melarikan diri melalui pintu belakang ke dalam hutan berhampiran namun berjaya ditahan kira-kira 200 meter dari rumahnya.

Akibat tindakan melarikan diri dalam keadaan bogel itu, badannya mengalami luka dan calar-balar terkena duri pokok salak di dalam hutan berkenaan.

Selepas ditahan, lelaki itu memberikan jawapan takut dicekup apabila disoal anggota penguatkuasa yang pelik dengan tindakannya melarikan diri.

Bagaimanapun, ujian air kencing dijalankan ke atasnya mendapati dia negatif dadah dan rekod pengawasan setempat (PS) AADK sudah tamat pada 2011.

Lelaki itu akhirnya lega apabila dibebaskan selepas operasi berkenaan tamat kira-kira jam 6 pagi semalam.

Pengarah AADK Pahang Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, dalam satu lagi serbuan di sebuah rumah di tanah rancangan itu pihaknya menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang hamil tujuh bulan.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan wanita dipercayai penagih itu mengandungkan anak ketiga dan positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan terhadapnya selain turut melanggar syarat Orang Kena Pengawasan (OKP).

Katanya, dalam operasi disertai 61 anggota termasuk RELA bermula jam 12 tengah malam dan berakhir jam 6 pagi semalam, pihaknya memberkas 40 individu dipercayai penagih dadah di sekitar FELDA di daerah ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");