Berita Hari Ini

Lebih 3,000 guru Kafa Perak berpeluang sambung belajar

IPOH – Seramai 3,115 guru Kelas Fardu Ain (Kafa) di Perak berpeluang menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi melalui program Peningkatan Tahap Akademik Guru Kafa.

Exco Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Perak, Datuk Dr Mohd Nizar Zakaria berkata, program itu menawarkan pengajian hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, sekali gus memberi peluang kepada warga pendidik Kafa bagi membangunkan diri agar setaraf dengan guru di sekolah harian lain.

Katanya, program itu dilaksanakan Asia e Universiti (AeU), Pusat Perkembangan Minda Darul Ridzuan (Minda), Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Guru sekolah agama rakyat tidak lagi boleh beranggapan mereka guru kelas dua. Guru Kafa ini ada kelebihan sebab mereka mengajar anak-anak sehingga khatam al-Quran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Peningkatan Tahap Akademik Guru Kafa peringkat negeri, di sini hari ini.

Terdahulu Mohd Nizar menyaksikan majlis menandatangani kolaborasi program dengan semua pihak yang terlibat.

Sementara itu, Presiden AeU Prof Datuk Dr Ansary Ahmed berkata kaedah Pengakreditan Pembelajaran Sepanjang Hayat (APEL) akan digunakan bagi memudahkan dan memendekkan tempoh pengajian guru Kafa.

“Walaupun mereka sebelum ini hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Tinggi Agama Malaysia, tetapi kini mereka boleh menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda kerana pengalaman mereka diambil kira,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Minda, Muhammad Faizal Tahiruddin pula berkata berdasarkan kajian, 72 peratus guru Kafa di Perak tidak mempunyai pekerjaan lain, maka dengan adanya program itu ia boleh membantu menambah pendapatan mereka.

Katanya, guru Kafa yang mengikuti program itu boleh mendapat bantuan kewangan bagi membiayai pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan zakat Baitulmal.

Dijangka 400 guru Kafa akan mendaftar bagi mengikuti program itu yang akan bermula Jun ini.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");