Berita Hari Ini

Masalah tapak untuk rumah Pr1ma selesai

TELUK INTAN – Masalah mencari tapak yang sesuai bagi? pembinaan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pr1ma) di kawasan Parlimen ini telah dapat diatasi dan mendapat kelulusan.

Adun Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, kawasan tersebut dikenal pasti di Batu 4 Changkat Jong, bersebelahan kawasan kampus cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sedang dibina.

Katanya, pengambilan tanah seluas 40.46 hektar untuk tujuan membina 1,000 unit rumah PR1MA mampu milik dijangka selesai sebelum akhir tahun ini hasil pertemuan beliau bersama Ketua Pegawai Operasi (COO) Pr1ma, Datuk Ar. Aminuddin Abdul Manaf.

“Alhamdulillah, hasil perbincangan saya bersama Datuk Aminuddin pada minggu lepas di Pejabat Pr1ma telah membuahkan hasilnya dan mereka juga menyatakan telah mendapat kelulusan untuk pengambilan tanah yang dimiliki Sime Darby.

“Malah pihak exco kerajaan negeri juga telah mengesahkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan khairat kematian kepada 32 waris penerima dari kawasan DUN Changkat Jong di Pusat Khidmat ADUN di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong mengakui? projek Pr1ma di kawasan parlimennya masih lagi dalam usaha pengambilan tanah berikutan lokasi tanah yang dicadangkan sebelum ini tidak mencukupi bagi cadangan membina 1,000 unit kediaman.

Mohd Azhar berkata, pembangunan bercampur itu dibahagikan kepada empat fasa perumahan iaitu rumah teres, rumah semi-D dan rumah banglo yang berharga anggaran RM140,000 hingga RM300,000 seunit.

Jelasnya pihak Pr1ma juga telah memberi jangkaan akan melantik kontraktor? dalam hujung tahun ini dan pembinaan itu akan mengambil masa dalam enam hingga lapan bulan sahaja kerana membawa konsep pasang siap teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Konsep reka bentuk kawasan perumahan projek Pr1ma itu telahpun dihantar kepada pihak berwajib untuk penilaian.

“Malah dalam pertemuan itu, saya juga telah meminta pihak Pr1ma membina segala kemudahan asas kerana kawasan itu mempunyai beberapa kampus universiti dan sudah pastinya berpotensi dibangunkan satu bandar baharu di kawasan itu,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya ketika ini hampir 5,000 pemohon telah mendaftar secara dalam talian bagi permohonan membeli rumah Pr1ma di dalam Parlimen Teluk Intan.

“Kita harap sebaik projek Pr1ma ini berjaya disiapkan, ia akan menggalakkan pemaju perumahan untuk membangunkan lagi kawasan setempat,” katanya.

Mengenai bantuan khairat kematian, Mohd Azhar berkata seramai 192 waris penerima dari kawasan Dun Changkat Jong telah menerima bantuan ‘one off’ sebanyak RM500 daripada kerajaan negeri Perak sejak 2013 hingga Mei tahun ini.

“Kita kena terima hakikat bahawa semua pengurusan jenazah tidak mengira? bangsa memerlukan kos. Jadi kita harap bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban kepada waris terutamanya yang kewangan tidak kukuh,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");