Sukan Hari Ini

Messi meraung

San Juan, Argentina: Lionel Messi terpaksa dibawa ke hospital selepas mengalami kecederaan serius pada perlawanan persahabatan menjelang Copa America dengan menentang Honduras yang berkesudahan Argentina menang 1-0, kelmarin.

Jaringan pada babak pertama oleh penyerang Napoli Gonzalo Higuain membolehkan Argentina menang di San Juan dan perlawanan itu di dominasi sepenuhnya oleh juara dunia dua kali itu.

Tetapi keputusan itu dicemari kecederaan yang dialami Messi pada babak kedua sekali gus memaksa bintang Barcelona itu dibawa ke hospital serta merta selepas mengadu sakit di bahagian belakang badannya.

Pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu cedera selepas bertembung dengan pemain lawan pada minit ke-59.

Messi meraung dan menggosok belakang badannya selepas pertembungan itu dan dia dirawat di tepi padang selama beberapa minit sebelum dikeluarkan untuk digantikan dengan Ever Banega.

Messi dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan serta mengenal pasti tahap kecederaan yang dialaminya, kata Persatuan Bolasepak Argentina dalam satu kenyataan.

“Messi cedera di bahagian belakang sebelah kiri badannya dan pada masa sama, dia juga mengadu sakit di tulang rangka. Dia sedang diuji di sebuh hospital berdekatan,” kata kenyataan itu lagi.

“Dia mengalami kesakitan di belakang badan,” kata jurulatih Argentina Gerardo Martino.

“Adalah terlalu awal untuk saya mengatakan lebih daripada itu pada tahap ini,” kata Martino.

Bagaimanapun, sebarang kecederaan yang menimpa Messi pasti menjadi malapetaka buat Argentina apatah lagi mereka bakal mengharungi Copa America menentang Chile di California pada 6 Jun.

Messi menjadi harapan Argentina untuk menamatkan kemarau kejayaan di peringkat antarabangsa yang sudah berlarutan selama 23 tahun.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");