Jenayah

Nenek parah dirompak meninggal dunia

CHUKAI: Nenek yang cedera parah dipukul dua penyamun yang memecah masuk rumahnya dalam kejadian di Taman Baiduri, Geliga, minggu lalu, meninggal dunia petang kelmarin selepas lima hari dirawat di Hospital Kemaman.

Warga emas berusia 68 tahun itu menghembuskan nafas akhir kira-kira jam 5.10 petang ketika masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, bedah siasat yang selesai dijalankan petang semalam mendapati, mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala yang dialaminya.

Berikutan itu, katanya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis percaya mangsa dipukul menggunakan objek keras hingga alami pendarahan di bahagian belakang kepala dan tidak sedarkan diri selepas dibawa ke hospital.

“Dalam usaha memburu suspek, kita sedang kenal pasti dua individu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar rumah mangsa,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan mangsa yang tinggal bersendirian terbaring dalam keadaan cedera parah selama 37 jam selepas dipukul dua penyamun sebelum kejadian itu disedari menantu mangsa.

Dari rakaman CCTV, kejadian samun itu didapati berlaku pada Jumaat lalu, namun insiden itu hanya disedari selepas 37 jam ketika menantu mangsa datang menziarahinya kira-kira jam 10 pagi Ahad.

Mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidurnya dan seutas rantai leher emas yang dipakainya didapati hilang.

Mohd Said meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu tampil membantu dengan menghubungi pegawai penyiasat kes tersebut, Inspektor Mohd Farhan Abd Wahab menerusi talian 019-4361537 atau ke balai berdekatan.

Jenazah mangsa dituntut keluarga pada jam 4.30 petang semalam dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jabor Kubur.

Ketika ditemui pemberita di pekarangan hospital, keluarga mangsa masih belum bersedia untuk ditemubual.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");