Membawang Hari Ini

Pak Karim Seri Melati harumkan ghazal ke antarabangsa

IRAMA ghazal bukanlah asing dalam masyarakat Melayu, meskipun sering disebut dan diperkatakan tetapi tidak semua tahu dan dapat mendalami irama itu.

Sementelah perubahan zaman meletakkan irama itu jauh daripada segelintir generasi masa kini.

Kerana itu, penggiat irama ghazal ini nekad memperjuangkan seni budaya tersebut selagi hayatnya dikandung badan.

Walaupun usianya sudah 67 tahun, pejuang ghazal yang dikenali sebagai Pak Karim Seri Melati ini masih membawa irama itu ke mana sahaja.

Bercerita penglibatannya menerusi ghazal, pemilik nama sebenar Mohamed Karim Abdul Rahman ini dilahirkan pada 1949 dan merupakan anak jati Pontian, Johor.

Pak Karim merupakan Ketua Bahagian Muzik Ghazal di Taman Seni Budaya Johor.

Mula berkecimpung sekitar 1960-an secara serius dan aktif bersama Kumpulan Ghazal di Parit Patah.

Menariknya, beliau merupakan ahli terawal Kumpulan Ghazal Seri Melati yang ditubuhkan pada 1969 di bawah pimpinan Md Noah dan A Wahid Aziz. Menerusi kumpulan itu, beliau diberikan tanggungjawab sebagai penyanyi utama dan pemain gitar utama.

Antara kejayaannya Pak Karim bersama Kumpulan Seri Melati seperti menjuarai Pertandingan Dendang Rakyat sebanyak tiga kali sekitar 1970-an dan 1980-an.

Pada masa sama, beliau pernah dijulang johan Pertandingan Nyanyian Lagu Asli Dendang Rakyat 1970.

Sepanjang memperjuangkan ghazal, Pak Karim sempat merakamkan suara dalam beberapa album piring hitam dan kaset termasuk berduet bersama SA Aishah, Baba Shamsudin dan kumpulan ghazal Seri Melati.

Selain itu, seni ini berjaya membawa Pak Karim menjelajah ke beberapa negara seperti Switzerland, India, Perancis dan Denmark.

“Saya bangga kerana dapat membawa muzik ghazal sehingga ke peringkat antarabangsa. Bagi saya, ia satu pengalaman hebat dan perjuangan ini perlu disambung generasi kini supaya ia tidak ditelan zaman,” katanya.

Berbicara lanjut, kata beliau, ghazal satu muzik yang cukup unik dan istimewa lebih-lebih lagi di Johor.

“Ia menjadi pengenalan kepada negeri kami dan menjadi satu tanggungjawab anak-anak Johor memartabatkan seni ini,” katanya.

Atas sumbangan beliau memperkembangkan seni budaya Johor ke peringkat antarabangsa, Pak Karim dianugerahkan Pingat Iskandar Sultan (PIS) oleh baginda Sultan Johor.

Perkembangan ghazal

Berkongsi mengenai sejarah ghazal, jelas Pak Karim, selain Johor, ghazal amat terkenal di beberapa negara seperti Iran, Mesir, Iraq dan Turki.

“Ada yang menyebut ghazal tersebar apabila Parsi menjajah Timur Tengah dan India Utara.

“Ghazal yang masuk ke Semenanjung Malaysia adalah yang dibawa mubaligh dari tanah Arab di abad ke-19. Ghazal Party pula dibawa masuk ke utara Semenanjung Malaysia menerusi persembahan wayang parsi manakala ghazal Johor diperkenalkan oleh pemuzik India Utara (ghazal urdu),” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ghazal menemui era kegemilangannya sekitar 1950-an di Johor.

“Hampir semua daerah dan bandar memiliki kumpulan ghazal. Ia bukan sahaja popular untuk majlis keramaian rasmi malah turut menjadi alat hiburan dalam waktu senggang masyarakat serta mengisi pesta-pesta rakyat dan acara kenduri masyarakat setempat.

“Dalam kemeriahan inilah muncul nama-nama tokoh yang menyemarakkan irama ghazal seperti Fadzil Ahmad, Ahmad Jusoh dan SA Aishah.

“Selain itu nama-nama lain yang mekar sebagai penyanyi ghazal seperti Kamariah Noor, Rosiah Chik, Talib Ahmad (komposer), Orkid Abdullah, Fatimah Adan, S Fauziah dan termasuklah angkatan baru seperti Ramlah Ram dan Klthsom,” katanya.

Satukan dua generasi

Baru sahaja berlangsung di Aswara persembahan malam Menghenek Parsi, kata Pak Karim yang terlibat menjayakan program itu, ‘menghenek Parsi’ atau sebutan asalnya merenek Parsi, adalah istilah yang digunakan dalam teknik nyanyian ghazal.

“Dalam kalangan pemain ghazal, tidak lengkap kalau seseorang penyanyi itu mempersembahkan ghazal tetapi tidak mampu menguasai beberapa teknik dalam nyanyian.

“Meghenek satu teknik mengalun yang berlenggok dipengaruhi melodi tertentu seperti hindi, urdu, arab atau parsi yang menjadi satu tingkat yang sukar kepada pemain ghazal.

“Kerana itu dalam menyanyikan lagu-lagu ghazal, kecekapan mengalun, mematah, merenek dan mematikan lagu sangat dititikberatkan. Jadi dalam teknik merenek atau merintik, seseorang penyanyi itu mesti bijak menyukat nyanyiannya,” katanya di sinilah terletak mutu tinggi dalam nyanyian ghazal.

Menganggap meghenek umpama bunga atau penyedap lagu, kata Pak Karim, program berkenaan juga sangat istimewa kerana menggabungkan kumpulan ghazal daripada dua generasi.

“Ia juga ibarat reunion antara saya dengan Kumpulan Daya Tebrau Ghazal Johor. Ini kerana mereka merupakan anak didik kepada tokoh ghazal terkenal, Allahyarham SA Aishah dan Allahyarham Abdul Wahid.

“Kedua-dua tokoh ini adalah rakan seperjuangan saya sewaktu bersama dalam kumpulan Ghazal Seri Melati.

“Walaupun sudah tiada, semangat dan jasa mereka kekal sehingga kini,” katanya.

Selain bergabung bersama Kumpulan Daya Tebrau, Pak Karim juga sempat bercerita mengenai teknik nyanyian dan ciri khusus dalam ghazal.

“Segmen ini diadakan secara improvisasi sebagaimana sesi antara murid dan guru. Harapan saya program ini diteruskan lagi dan mampu menarik minat anak muda mengekalkan seni ghazal di negara kita,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");