Berita Hari Ini

Pengundi paling sikit, jauh di Sarawak

KUCHING – Rumah TK Barang Lugun di kawasan Dun Mulu merupakan pusat dengan jumlah pengundi paling kecil sebanyak 25 orang untuk pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Pusat itu terletak kira-kira 12 jam melalui jalan balak dari Marudi yang merupakan kawasan bandar terdekat bagi penduduk di situ, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Datuk Takun Sunggah.

Pusat pengundian itu akan dibuka dari 8 pagi selama satu jam kerana bilangan pengundi yang kecil.

“Untuk itu, kami membawa kertas undi dan peralatan pilihan raya dari Kuching ke Marudi pada minggu lepas. Dan mungkin esok atau lusa pada hari pengundian, petugas SPR akan membawanya pula ke rumah panjang tersebut dengan helikopter,” katanya kepada media selepas melawat Pusat Semakan Peti Undi bagi kawasan Dun Batu Kitang di Majlis Perbandaran Padawan, di sini hari ini.

Pasukan bergerak SPR itu kemudian akan menaiki helikopter selama 15 minit bagi membawa peti undi yang sama ke Sekolah Kebangsaan Bario di mana proses pengundian berlangsung dari 10.30 pagi hingga 12 tengah hari untuk 127 pengundi.

“Pusat undi di rumah TK Barang Lugun dan SK Bario berkongsi pasukan bergerak dan peti undi yang sama kerana faktor jumlah pengundinya yang sedikit,” katanya.

Sementara itu, pusat pengundian di SK Long Lamai Ulu Baram merupakan lokasi yang paling jauh di pedalaman.

Peti undi bagi kawasan itu yang mempunyai 177 pengundi itu juga perlu dihantar menggunakan helikopter dari Marudi.

Pertandingan Dun Mulu menyaksikan persaingan empat penjuru antara Datuk Gerawat Gala (BN) Paul Anyie Raja (DAP), Pauls Baya (PKR) dan calon Bebas, Dr Roland Dom Mattu.

Dun Mulu merupakan satu daripada 11 kerusi baharu dalam pilihan raya negeri kali ini. Ia merangkumi kawasan yang dahulunya berada dalam sempadan Dun Ba’ Kelalan dan Dun Telang Usan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");