Berita Hari Ini

Perbendaharaan: Ahli Lembaga Pengarah Baharu 1MDB, Arul Kanda Kekal Presiden

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mengumumkan pelantikan ahli lembaga pengarah baharu bagi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), menggantikan lembaga pengarah sebelum ini yang meletakkan jawatan secara rasmi pada Selasa.

Lembaga Pengarah baharu yang dianggotai tiga orang itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, Setiausaha Sulit Kanan bagi Ketua Setiausaha Kerajaan Datuk Norazman Ayob dan Ketua Pegawai Operasi Prokhas Sdn Bhd Datuk Kamal Mohd Ali.

Bagaimanapun, Arul Kanda akan kekal sebagai Presiden 1MDB, kata Kementerian Kewangan.

“Perubahan ahli lembaga pengarah itu mencerminkan hala tuju baharu 1MDB sebagai sebuah syarikat bukan operasi, menumpukan kepada menyelesaikan pelan rasionalisasi dengan jayanya dan melaksanakan pembayaran hutang pada masa depan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menteri Kewangan (Diperbadankan) melahirkan penghargaan dan terima kasihnya kepada ahli lembaga pengarah sebelum ini yang kekal komited dan mengemudi syarikat itu mengharungi tempoh mencabar, yang membawa kepada kejayaan pelan rasionalisasi tersebut.

Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang memegang 100 peratus saham 1MDB, gembira untuk mengesahkan ia telah melaksanakan cadangan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk meminda Artikel Penubuhan 1MDB, berkuat kuasa 31 Mei, 2016.

Ini termasuk, antara lainnya, pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB, penghapusan Artikel 117 semasa dan menukar semua rujukan daripada ‘Perdana Menteri’ kepada ‘Menteri Kewangan.

Pindahan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd, Air Itam dan Pulau Indah land kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) sedang berjalan lancar, dan pengumuman seterusnya akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara itu. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");