Sukan Hari Ini

Piala FA: JDT miliki kelebihan julang trofi

KUALA LUMPUR: Final Piala FA kali ini menjadi peluang keemasan buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk membawa kembali trofi berprestij itu ke bumi selatan tanah air selepas 18 tahun.

Rata-rata pemerhati bola sepak tempatan menganggap skuad Harimau Selatan tidak berdepan masalah untuk menebus kekecewaan tewas 0-1 kepada Kelantan di final 2013 apatah lagi lawan mereka kali ini hanya pasukan kelab PKNS FC.

Semua kelebihan termasuk kualiti pemain, pengalaman dan jumlah penonton tampak jauh memihak kepada JDT berbanding PKNS yang serba kekurangan selain sejarah layak ke final buat kali pertama ini juga di luar jangkaan.

Malah, bekas jurulatih kebangsaan, B Sathianathan menegaskan betapa keputusan final kini hanya terletak di tangan JDT selain menganggap 80 peratus trofi itu sudah berada dalam genggaman skuad Mario Gomez.

“Bagi saya, peluang JDT muncul juara 80 peratus. Jika mereka buat kesilapan sahaja barulah PKNS boleh menang. Sebab itu saya kata ia semua terpulang kepada JDT.

“JDT banyak kelebihan terutama memiliki pemain bertaraf bintang, berpengalaman termasuk di peringkat antarabangsa dan itu semua menjadi kekuatan mereka.

“Malah, pada perlawanan semalam (kelmarin), bila Kedah jaringkan gol, mereka tetap tidak panik dan main seperti biasa. Ciri-ciri ini yang rasa tiada pada pasukan lain di Liga M,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kali pertama dan terakhir Johor menjulang Piala FA adalah pada tahun 1998 selepas menewaskan Sabah 1-0 dan bagi PKNS pula, pencapaian terbaik mereka adalah layak hingga ke separuh akhir pada 2004.

Mengulas mengenai peluang 20 peratus yang dimiliki PKNS, Sathianathan berkata: “Syabas buat E Elavarasan.

Ini yang istimewa ada pada dia selepas pasukannya berjaya mengatasi beberapa pasukan besar termasuk Perak dan FELDA United.

“Ini mungkin satu bonus pada mereka. Bagi saya, mereka ada peluang untuk buat kejutan dan perlu turun tanpa tekanan.

Apapun, saya percaya Elavarasan mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk berdepan JDT.”-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");