Sukan Hari Ini

Popov lulus ujian pertama

VELIZAR Popov boleh dianggap lulus ujian pertama selaku pengendali baharu Kelantan apabila pasukannya berjaya mengikat Selangor seri tanpa jaringan dalam aksi terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

Kedua-dua pasukan itu sekali lagi bertembung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini, dan percaturan taktikal jurulatih kelahiran Bulgaria itu bakal menjadi perhatian setelah misi meraih mata di Shah Alam tampak membuahkan hasil.

Rata-rata penyokong fanatik pasukan itu berpuas hati dengan corak permainan bertenaga skuad pantai timur itu apatah lagi terpaksa mengharungi baki hampir 70 minit permainan dengan 10 pemain gara-gara Wan Zack Haikal Wan Nor dibuang padang, pertengahan babak pertama.

Dijangka rombak pasukan

JURULATIH berusia 40 tahun itu melakukan perjudian berani apabila mempertaruhkan hampir sebahagian pemain tempatan ketika Selangor tampil dengan empat tenaga import dalam pertemuan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Popov dijangka merombak kesebelasan utama pasukannya pada pertemuan malam ini dengan kemungkinan membawa masuk Jonatan Lucca di bahagian tengah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Brendan Gan akibat penggantungan.

Lucca, pemain kelahiran Brazil berpeluang menampilkan aksi berbisanya bersama Mohd Badhri Radzi sekembalinya daripada cuti panjang setelah pulang ke negaranya selepas kematian bapanya, bulan lalu.

Ketiadaan Wan Zack Haikal akibat penggantungan perlawanan sudah semestinya dirasai, namun Popov mungkin tidak berdepan masalah untuk menamakan pengganti pemain berkenaan di bahagian sayap pasukannya.

Ada calon sesuai

INDRA Putra Mahayuddin juga dilihat calon sesuai memperkuatkan bahagian tengah namun dalam masa sama pemain veteran berusia 35 tahun itu juga mampu menggalas tugas selaku penyerang sokongan kepada Blazhe Ilijoski.

Selain itu, Popov dijangka menggunakan semula khidmat Dramane Troare di jentera hadapan setelah penyerang import Mali itu mempamerkan aksi tidak mengecewakan meskipun masuk selaku pemain gantian pasukannya, tempoh hari.

Apa yang penting, kedua-dua penyerang import itu perlu lebih tenang di depan gawang jika mahu mencetak nama selaku penjaring gol kerana benteng pertahanan Selangor diketuai Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Robert Cornthwaite sememangnya begitu sukar untuk ditembusi.

Pemain tempatan lebih bagus

KETIADAAN Jonathan McKain langsung tidak diratapinya kerana Popov percaya rangkaian benteng pertahanan yang diterajui pemain tempatan sudah menjalankan tugas mereka dengan cemerlang sebelum ini.

Gandingan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Mohamad Muslim Ahmad, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd Qayyum Marjoni Sabil boleh dianggap pertaruhan terbaik bekas pengemudi skuad kebangsaan Maldives itu dalam pertemuan malam ini.

Tinggal lagi mereka perlu memperkemaskan usaha untuk mengekang asakan Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi kerana dua penyerang import Selangor itu sentiasa bijak menghidu peluang sekiranya dibiarkan bergerak bebas.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");