Sukan Hari Ini

Ramos akhiri setahun sengsara

Milan: Seperti yang dilakukannya dua tahun lalu, Sergio Ramos meninggalkan jejaknya untuk Real Madrid pada final Liga Juara-Juara apabila meraih kemenangan ke atas Atletico Madrid selepas mengharungi setahun penuh sengsara.

Ramos menjaringkan gol pembukaan penuh kontroversi di San Siro awal pagi semalam dan dengan bersahaja menyempurnakan sepakannya pada penentuan penalti sebelum dinobatkan pemain terbaik kejohanan dan menjulang trofi kejohanan bola sepak terbesar Eropah buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

Ramos mempengaruhi rentak perlawanan seawal minit ke-15 apabila berada di depan penjaga gol Atletico Jan Oblak untuk menyambut tandukan Gareth Bale bagi meletakkan Madrid di depan biarpun dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.

Ramos kemudiannya melayangkan dirinya untuk menghalang percubaan Antoine Griezmann dan pada separuh masa kedua ketika kedudukan seri 1-1, pemain Sepanyol itu menghalang gerakan Yannick Carrasco untuk mematahkan serangan Atletico.

Selepas mengemudi pasukannya yang keletihan pada masa tambahan dan menuju ke penentuan penalti, Ramos dengan tenang meledak jaringan keempat Real sebelum Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti penentuan bagi membolehkan Real menjulang Liga Juara-Juara buat kali ke-11.

“Ada beberapa perkara yang boleh dibandingkan dengan memenangi trofi. Ia satu anugerah selepas kerja keras dan penderitaan kerana musim yang amat sukar,” kata Ramos.

“Menjaringkan gol memberi semangat buat saya, apabila anda menjaringkan gol pada perlawanan akhir ia sentiasa dirakam dalam sejarah.”

Kurang setahun lalu, Ramos dilaporkan hampir menyertai Manchester United, sekali gus menamatkan pembabitannya secara sedekad bersama Real.

Selepas dua bulan, dia menamatkan spekulasi itu dengan menandatangani kontrak baru pada Ogos, apabila berkata dia tidak berniat untuk meninggalkan kelab Sepanyol.

Biarpun mengesahkan kedudukan masa depan, Ramos berdepan musim sukar apabila Real bergelut mencari keserasian di bawah kendalian Rafael Benitez selain bahunya terkehel, sebulan selepas musim bermula selain mengalami kecederaan sama pada November.

“Satu keistimewaan dapat menamatkan musim seperti ini,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");