Berita Hari Ini

Rumah Ngaji masuk Parlimen

KUALA LUMPUR – “Saya terkejut tapi bersyukur Rumah Ngaji diwujudkan di Parlimen kerana berpeluang mempelajari kitab ALLAH ini,” kata kakitangan Parlimen, Mashitah Kamaruddin, yang teruja dengan pembukaan Rumah Ngaji di Parlimen.

Mashitah berkata, dia sangat berbangga dengan usaha dan kerjasama itu yang memberi peluang kepada warga Parlimen mempelajari ilmu ALLAH dan seterusnya mendekati serta membaca al-Quran.

Selain terharu katanya, dia tidak mahu mensia-siakan peluang menyertai program Rumah Ngaji tersebut.

“Saya berharap warga dan kakitangan Parlimen lain turut mengimarahkan program Rumah Ngaji dan merebut peluang keemasan yang disediakan. Peluang ini mungkin tidak dapat di mana-mana,” katanya.

Rakan sekerjanya, Umi Kalsom Karmon berkata, dia baru tahu mengenai Rumah Ngaji pada minggu ini walaupun difahamkan program diadakan dalam keadaan mengejut.

Namun begitu katanya, dia bersyukur diberi peluang mengikuti program berkenaan dan tidak sabar untuk mengikutinya.

“Saya berharap program ini berpanjangan dan memberi manfaat kepada warga Parlimen mempelajari dan membaca al-Quran,” katanya.

Isnin lalu, Rumah Ngaji anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) mengembangkan program itu ke Parlimen dan menerima sambutan menggalakkan daripada kakitangan dan warga Parlimen.

Rumah Ngaji di Parlimen menjadikan institusi tertinggi negara itu satu-satunya Parlimen di dunia mengiktiraf program keagamaan dalam konteks negara demokrasi.

Program Quran Hour dan Pelancaran Rumah Ngaji @ Parlimen disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara, Riduan Rahmat; Pengerusi WUI, Datuk Abdul Jalil Ali; Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff; Pengasas Master P.I.E.S, Fazrul Ismail dan penceramah bebas dan juga selebriti, Shamsul Ghau-Ghau.

Riduan berkata, Rumah Ngaji itu julung kali diadakan di Parlimen dan satu-satunya Parlimen yang membenarkan dalam konteks demokrasi untuk mengadakan program berbentuk keagamaan.

“Saya sangat bangga di mana Parlimen membenarkan program Rumah Ngaji dan meletakkan al-Quran sangat tinggi tempatnya.

“Saya berharap program Rumah Ngaji ini dapat sambutan pegawai dan kakitangan Parlimen untuk mempelajari dan memahami al-Quran seterusnya dimanfaatkan sebagai panduan hidup,” katanya.

Katanya, program Rumah Ngaji itu akan diadakan secara berkumpulan pada setiap Jumaat di surau Parlimen.

‘Fenomena baik, sangat bagus’

Asyraf Wajdi menyifatkan Rumah Ngaji yang dianjurkan di Parlimen merupakan fenomena yang baik dan sangat bagus diadakan.

Menurutnya, inisiatif yang dilakukan itu satu bentuk pembudayaan dalam menjadikan al-Quran sebagai satu budaya kehidupan harian umat Islam bagi warga Parlimen.

“Saya melihat Rumah Ngaji di Parlimen sebagai satu manifestasi atau suatu terjemahan kepada suasana negara kita yang hakikatnya begitu subur dengan program agama malah tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

“Perlembagaan negara turut mengiktiraf Islam adalah agama Persekutuan, maka ini adalah pertama kali sebuah Parlimen dalam sesebuah negara demokrasi dan satu-satunya dalam dunia yang membenarkan program seumpama ini dijalankan,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.

Menurutnya, beliau sering menyatakan budaya 3M iaitu membaca, memahami dan mengamalkan penting dalam konteks Rumah Ngaji ini.

“Al-Quran bukan sahaja menjadi hiasan di rumah tetapi ia berada dalam hati kita dan diterjemahkan dalam kehidupan kita ,” katanya.

Tambah beliau, membaca al-Quran perlu berguru kerana ada tertib dan disiplin sendiri, bukan sahaja membaca tetapi memahaminya.

Katanya, makna yang perlu difahami dalam konteks al-Quran bukan semudah membaca tafsiran dan terjemahan sahaja.

“Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam membuat tafsiran kerana bimbang memberi tafsiran salah dan menyesatkan pihak lain.

“Membaca terjemahan tanpa memahami konteks mungkin akan membawa kesesatan. Dalam konteks Islam pun perlu berguru dan mencari orang yang berkeupayaan untuk memberikan kita panduan sebenar dan betul.

“Harus berguru dengan yang berilmu dan selepas itu barulah kita boleh menghayatinya dan menterjemahkan dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya Rumah Ngaji @ Parlimen ini, warga Parlimen diharapkan menerima barakah dan rahmat ALLAH, memacu ke arah yang lebih baik.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");