Sukan Hari Ini

Tekad pertahankan pingat perak

ATLET memanah negara, Hasihin Sanawi bertekad mempertahankan pingat perak yang dimenanginya di Sukan Paralimpik London empat tahun lalu, walaupun masih belum layak ke edisi kali ini di Rio de Janeiro, Brazil.

Pemenang pingat perak acara recurve individu lelaki W1/W2 di London itu turut yakin dapat meningkatkan prestasinya yang tidak konsisten selepas kejayaan pada 2012 itu.

“Saya akui prestasi saya tidak konsisten selepas kejayaan di London. Menjelang Paralimpik tahun ini, saya masih berusaha keras dan ketika ini keyakinan diri semakin meningkat.

“Apa yang penting, saya akan cuba sedaya upaya melayakkan diri ke Rio dan mempertahankan pingat saya selain mengembalikan prestasi saya,” kata atlet berusia 33 tahun itu ketika ditemui semasa sesi latihan skuad negara di Pusat Kecemerlangan Paralimpik di sini, semalam.

Hasihin gagal mencatat sebarang kejayaan membanggakan selepas memenangi pingat perak empat tahun lalu kecuali meraih perak di Kejohanan Para-Memanah Jemputan Antarabangsa ke-10 di Stoke Mandeville, London pada 2013.

Beliau juga terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara berpasukan di Sukan Para Asean 2011 dan 2014, selepas gagal memenangi sebarang pingat acara individu, manakala pada edisi lalu di Singapura, beliau gagal membawa pulang sebarang pingat.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Marzuki Zakaria mengakui peluang bagi atlet negara layak ke Rio agak tipis dengan tinggal satu sahaja kejohanan untuk melayakkan diri.

“Kita masih belum ada atlet yang layak ke Rio buat masa ini. Peluang terakhir ialah menerusi Kejohanan Kelayakan Dunia di Republik Czech dari 11 hingga 20 Jun ini.

“Peluang kita memang sukar kerana hanya tiga pemanah terbaik bagi setiap kategori (recurve dan compound) akan layak.

“Kita memang tahu cabaran sangat sengit dan perlu juga bersedia menghadapi keadaan cuaca yang berbeza di sana,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");