Berita Hari Ini

‘Tidak libatkan kawasan kampung’

TANJONG KARANG – Jajaran Lebuhraya Pantai Barat diputuskan secara muktamad akan melalui pekan Tanjong Karang sekali gus melegakan penduduk berikutan tidak perlu memisahkan kampung terlibat.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan, perkara itu diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Ekonomi.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu memutuskan jajaran lebuh raya terbabit akan melalui Tanjong Karang dan beberapa laluan akan dinaik taraf bagi memastikan pekan itu tidak menjadi ‘pekan mati’.

“Selain itu, beberapa kampung seperti Kampung Haji Razali, Kampung Sungai Tengi Kanan dan Kampung Sungai Gulang-Gulang akan dikekalkan tanpa memisahkan kawasan penduduk kampung.

“Ia seiring saranan perdana menteri yang tidak mahu pembangunan membebankan rakyat,” katanya pada Majlis Permuafakatan PIBG 1Selangor Parlimen Tanjong Karang yang turut dihadiri Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak dan Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, turut berterima kasih kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya yang membantu membangkitkan isu sama ke peringkat tertinggi.

“Walaupun melibatkan kos yang agak tinggi, namun pembangunan yang dijalankan menggembirakan rakyat bahkan kita memperjuangkan suara rakyat,” katanya.

Pada program itu, Noh turut mengumumkan hampir RM2 juta diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan Parlimen Tanjong Karang bagi memastikan pendidikan menjadi keutamaan.

Melalui peruntukan itu, sebanyak RM385,000 disalurkan untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), RM68,000 untuk kelab guru manakala projek pembangunan sebanyak RM1.6 juta melibatkan 16 sekolah kebangsaan, lapan sekolah menengah, lima sekolah jenis kebangsaan Cina dan dan lapan sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Noh berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada sekolah dan PIBG untuk meningkatkan kecemerlangan anak penduduk dan mahu mengubah persepsi ibu bapa untuk masa depan anak.

“Sudah menjadi prinsip saya bahawa kemiskinan bukanlah harta pusaka yang perlu diwarisi dan dengan hanya pendidikan, mampu mengubah nasib dan masa depan keluarga.

“Bahkan kerjasama dan permuafakatan antara pihak sekolah, PIBG bersama pemimpin tempatan amat penting bagi membangunkan kecemerlangan sekolah pada masa akan datang,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");