Sukan Hari Ini

Walsh enggan ulas kedudukan Faizal

Kuala Lumpur: Meskipun mengagumi sentuhan penyudah bekas penyerang hoki negara, Faizal Saari namun Terry Walsh enggan mengulas kedudukan pemain Terengganu itu dalam skuad kebangsaan.

Walsh yang juga Pengarah Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkata, tidak adil baginya memberi sebarang komen atau bayangan mengenai kepulangan semula Faizal ketika skuad kendalian Stephen van Huizen sememangnya memerlukan penyerang berbisa itu bagi menghadapi saingan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan, Oktober ini.

Faizal sebelum ini digantung enam bulan daripada menyarung jersi The Speedy Tigers kerana gagal menghadiri sesi latihan skuad negara Oktober tahun lalu.

“Saya akui Faizal penyerang yang baik dan ini terbukti malam ini (kelmarin) apabila tindakan penyudah berbisanya sekali lagi membantu Terengganu menjuarai Piala Razak.

“Sama ada dia akan kembali ke skuad kebangsaan terpulang kepada barisan kejurulatihan. Namun bagi saya, dia masih taruhan terbaik negara terutama untuk persiapan menghadapi Trofi Juara-Juara Asia nanti,” katanya ketika ditemui pada aksi final Piala Razak di Bukit Jalil, kelmarin.

Aksi final membabitkan pertemuan Terengganu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menyaksikan Faizal muncul pemusnah harapan lawan yang berhajat menjuarai saingan buat kali pertama.

Dua gol Faizal di samping satu menerusi Akhimullah Anuar Esook sudah cukup untuk memastikan Terengganu menang selesa 3-0 selain dia turut dinobatkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaring Terbanyak dengan tujuh gol.

Malah sebelum aksi final itu, penyerang berusia 25 tahun itu meluahkan ingin kembali ke pangkuan skuad negara apabila mengakui sudah insaf dan kesal dengan kesilapannya itu.

“Bagus kalau dia disenaraikan semula namun berdasarkan saingan ini (Piala Razak), saya dapati ramai bakat baru yang boleh diketengahkan dalam latihan pusat nanti,” kata Walsh.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");