Jenayah

Halang bergaduh, anak ugut bunuh ibu

KOTA BHARU: Seorang penganggur mengaku tidak salah di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini atas tuduhan mengugut untuk membunuh ibunya.

Dakwaan terhadap Mohamad Arief Danirudin, 20, dibuat di hadapan Majistret, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yaseer Amri.

Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah hingga mendatangkan ketakutan dengan mengugut: “aku nak bunuh” kepada ibunya, Nik Maimunah Nik Mustapha, 46, di sebuah rumah di Kampung Guchil Bayam, di sini, pada jam 10 pagi, 6 Jun lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh menafikan mahu membunuh pengadu, tetapi mengaku bergaduh mulut dengan wanita itu.

Dakwanya, dia sebelum itu bergaduh dengan isteri dan ibunya pula menghalang pergaduhan itu.

Tertuduh juga mengaku pernah mengambil dadah dan meminta duit daripada pengadu.

Mendengar penafian itu, Ahmad ‘Adha berkata beliau akan memanggil saksi termasuk ibu tertuduh untuk memberi keterangan pada prosiding perbicaraan untuk mengetahui perkara sebenar.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wong Siew Mun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siew Mun mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat hanya boleh dibuat oleh ibu tertuduh.

Tertuduh pula dalam rayuannya merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kerana bapanya tidak mampu membayar jumlah sebanyak itu.

Ahmad ‘Adha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan syarat penjamin adalah ibu tertuduh sahaja.

Setakat petang tadi, jaminan belum dijelaskan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Julai depan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");