Sukan Hari Ini

Kafa sedia dihukum FAM

TAN SRI Annuar Musa menyatakan kesediaan Kelantan untuk menerima hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun mempersoalkan sejauh mana badan induk bola sepak kebangsaan itu membantu mereka menangani isu tunggakan gaji melibatkan bekas pemain dan jurulatih pasukan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu berkata, FAM sepatutnya mengambil pendekatan membantu ahli gabungan yang mengalami kesulitan dan tidak memberi tekanan kepada mereka menyelesaikan isu tunggakan gaji itu secara bersendirian.

“Saya dah kata kalau hukum macam mana sekali pun kalau kita tak mampu bayar, (bererti) kita bukan tak nak bayar (kerana) kita tak mampu bayar. Jadi kalau bertegas (nak) hukum Kafa atau relegate (menurunkan) ke liga (bawah) atau pun potong mata, adakah hutang boleh dibayar?

“Jawabnya makin tak boleh bayar. Jadi sekarang saya nak tanya, adakah kita nak bekerjasama untuk membayar ke (atau) kita hanya hendak hukum. Itu yang kita kena faham, kalau hendak hukum, kita hukum sahaja tapi kalau membantu supaya boleh bayar, jangan dicekik, beri ruang kepada kita bernafas,” katanya dalam sidang media semalam.

Kelantan bukan sahaja berdepan tuntutan daripada lima bekas pemain musim lalu iaitu Amiridzwan Taj Tajudin, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Fitri Omar dan Muhammad Nazri Ahmad, malah turut gagal membayar tunggakan gaji bekas jurulatih musim 2014, Steve Darby sebanyak RM165,000 dan Gilmar Jose Da Silva Filho kira-kira RM328,000.

Justeru, bagi mencari jalan menyelesaikan kemelut itu, Annuar telah mencadangkan kepada barisan Exco Kafa untuk mengadakan pertemuan bersama barisan kepimpinan FAM dalam masa terdekat.

“Saya telah syorkan kepada Setiausaha Agung (Datuk Ismail Md Noor) tulis surat kepada Datuk Hamidin (Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM). Tidak elok kalau kita terus menerus bercakap kepada media. Sebab banyak komen dalam akhbar, ramai orang tak faham sebenarnya latar belakang (isu tunggakan gaji) secara dekat.

“Saya fikir lebih baik mengadakan pertemuan dari hati ke hati, kita beritahu supaya masing-masing faham. Kita jelaskan situasi sebenar dan apa-apa juga keputusan mereka, kita terima selepas ini,” katanya.

Dalam masa sama Annuar memberitahu, beliau sedang berikhtiar mencari sumber lain dan memerlukan sedikit masa bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji yang berlarutan sejak tahun lalu itu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");