Sukan Hari Ini

KL terlepas Ezrie, Ferris

Kuala Lumpur: Terlepas dua pemain kepada pasukan pencabar kejuaraan Liga Perdana Melaka United, pengendali Kuala Lumpur Ismail Zakaria tetap tenang dengan perancangan pasukannya bagi menghadapi saingan pusingan kedua liga dan Piala Malaysia Julai depan.

Pada awalnya, Kuala Lumpur merancang mendapatkan pemain tengah Ahmad Ezrie Shafizie dan penyerang Mohd Ferris Danial Mat Nasir dari FELDA United secara pinjaman pada jendela perpindahan pemain hujung bulan ini namun hasrat itu tidak kesampaian apabila pasukan pendahulu liga Melaka United berjaya menarik minat kedua-dua pemain berkenaan.

“Memang kami memerlukan pemain lagi bagi memantapkan pasukan kerana selepas ini akan mengharungi saingan Liga Perdana dan Piala Malaysia serentak.

“Sebelum ini kami sudah ada berbincang dengan Ezrie dan Ferris tapi mungkin tawaran Melaka United lebih tinggi jadi mereka mengubah keputusan. Bagi saya ini tidak menjejaskan persiapan pasukan kerana kami akan cuba mendapatkan pemain lain,” katanya kepada Arena Metro.

Memasuki pusingan kedua, Kuala Lumpur kendalian Ismail Zakaria kini menduduki tangga keempat dengan berkongsi 25 mata bersama pasukan di tangga kedua dan ketiga Negeri Sembilan serta Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) manakala Melaka United hanya mendahului menerusi kelebihan dua mata.

Dua pemain import Mario Karlovic dan Cassagrande terpaksa digugurkan akibat kecederaan dan pengendali Kuala Lumpur itu mahu memberi tumpuan dalam pencarian posisi penyerang.

“Lebih penting adalah saya mencari penyerang import selepas dua pemain Mario dan Cassagrande sudah tidak bersama pasukan. Saya memerlukan penyerang import yang benar-benar bagus kerana anda lihat, jurang gol kami dengan pasukan lain agak ketara.

“Buat masa ini ada beberapa pemain import dari Amerika Syarikat, Cameroon, Uzbekistan dan Mali sedang menjalani ujian percubaan dan kami mahu membuat penilaian teliti sebelum membuat keputusan,” kata Ismail.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");