Sukan Hari Ini

MHC kekal senarai 25 pemain

Kuala Lumpur: Tiada perubahan atau penambahan dalam senarai 25 pemain skuad senior negara.

Demikian pendirian tegas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sekali gus memberi jawapan kepada penyerang sensasi negara Faizal Saari (gambar) bahawa belum ada ruang untuknya kembali semula ke dalam skuad negara meskipun akan menamatkan hukuman penggantungan 14 Jun ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif MHC K Logan Raj, senarai 25 pemain di bawah bimbingan Stephen Van Huizen yang diumumkan Jumaat lalu kekal.

“Kami sudah umumkan senarai baharu 25 pemain dan ia akan kekal hinggalah ada panggilan semula. Bermakna tiada sebarang tambahan pemain,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan laman web kejurulatihan 1Mas iaitu mhc1mas.com semalam yang boleh diakses dengan menggunakan kata kunci 1Coach.

Ditanya mengenai kedudukan Faizal yang akan tamat hukuman penggantungan, Logan berkata, penyerang negara itu perlu memenuhi hukuman penggantungan terlebih dulu.

“Ia mungkin akan dibincangkan apabila hukumannya tamat 14 Jun ini. Hingga sekarang, fokus adalah kepada 25 pemain negara saja,” katanya.

Faizal sebelum ini menyatakan hasrat untuk kembali bersama skuad negara sebaik memenuhi hukuman penggantungan selama enam bulan selepas gagal menghadiri kem latihan skuad negara hujung tahun lalu.

Mengambil kira pencapaian cemerlangnya pada Piala Razak, Faizal berharap perkara itu akan menjadi pertimbangan pengurusan skuad negara untuk memanggilnya semula.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");