Membawang Hari Ini

Rungkai persoalan

Filem Cold War pada 2012 meninggalkan beberapa persoalan terhadap kejadian penculikan isteri Sean Lau lakonan Aaron Kwok serta misteri kehilangan kenderaan milik unit kecemasan polis.

Selepas empat tahun kisahnya tergantung, sekuel Cold War 2 kembali menjawab segala pertanyaan peminat dengan menjanjikan plot cerita yang padat dengan konspirasi, konflik serta barisan pelakon baru.

Selain Aaron, filem ini masih mengekalkan pelakon asalnya Tony Leung Ka Fai, Charlie Yong, Eddie Peng, Aarif Lee dan Yili Ma, filem arahan Longman Leung dan Sunny Luk itu akan menemui penonton di Malaysia pada 8 Julai ini.

Lebih mengujakan, Cold War 2 turut menampilkan bintang hebat Chow Yun Fat bersama Janice Man dan Tony Yang.

Pastinya ramai peminat bertanyakan mengapa sekuel baru memakan masa hampir empat tahun untuk dibawa ke layar perak?

Menurut Longman, produksi mengambil tempoh lama untuk mengeluarkan sekuel berikutan beberapa skrip dengan pelbagai versi kisah Cold War 2 dihasilkan.

“Idea untuk sekuel Cold War sudah ada ketika penggambaran filem pertama bermula. Bagaimanapun, kami berdepan cabaran ketika hendak menulis skrip kerana pelbagai versi mula timbul dalam fikiran.

“Disebabkan itu, kami mengambil masa untuk menulis semula dan mengambangkan jalan cerita sekuel berkenaan sehingga berasa puas hati.

“Bukan itu saja, kami juga perlu memikirkan bagaimana mengaitkan elemen dalam sekuel berkenaan dengan filem pertama tanpa membuat penonton berasa bosan,” katanya.

Menghasilkan filem membabitkan pasukan keselamatan negara bukan mudah seperti disangkakan kerana menurut Longman, pihaknya sukar memperoleh data dan kajian berikutan pegawai Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong terikat dengan perjanjian sulit.

“Ia memang mencabar, mujur ada pakar berpengalaman dalam undang-undang sudi membantu kami dengan berkongsi maklumat dan prosedur berkaitan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan Cold War 2, pengarah itu berkata, cabaran terbesar ketika penggambaran adalah rakaman babak pengeboman di laluan bawah tanah berikutan masa diberikan terhad.

“Penggambaran itu dijalankan pada skala besar dan membabitkan 300 pelakon tambahan. Namun, kami diberikan masa yang pendek untuk menyiapkan penggambaran itu.

“Pun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan landasan bawah tanah atas sokongan mereka,” katanya.

Sebelum itu, Longman berkata, pelakon berlatih babak pengeboman terbabit di lokasi lain sebelum penggambaran bermula sekitar jam 1.30 pagi hingga 4.30 pagi selama beberapa hari.

“Kami hanya dapat merakam empat babak dalam sehari kerana perlu mengejar masa,” katanya.

Ditanya mengenai penampilan Yun Fat dalam filem ini, Longman berkata, pelakon itu ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan kerana Yun Fat adalah peminat filem ini selain turut dicadangkan peminat sendiri.

“Selepas Cold War ditayangkan, ramai peminat menyalurkan idea dan mencipta sambungan kisah filem itu di Internet. Malah, mereka turut memberi cadangan pelakon dan watak yang dirasakan paling sesuai untuk sekuel Cold War.

“Kemudian, produser memberitahu Yun Fat turut meminati Cold War. Tanpa fikir panjang, kami mencipta watak khas untuknya dan dia terus bersetuju untuk berlakon dalam sekuel berkenaan,” katanya.

Teruja berganding dengan Chow Yun Fat

Bercerita pengalaman kembali sebagai pegawai polis Sean Lau dalam Cold War 2, Aaron berkata, wataknya lebih mencabar kerana bakal bertemu dengan musuh lama dengan tanggungjawab lebih berat.

“Dalam filem ini, Lau dilantik menjadi ketua polis dan jawatan baru itu memerlukannya menonjolkan usaha serta fokus dalam mengetuai anggota keselamatan Hong Kong.

“Bukan itu saja, Lau perlu berfikir sebelum bertindak dan situasinya sekarang berbeza daripada filem pertama,” katanya.

Masih perlu berdepan Timbalan Pesuruhjaya Polis Waise Lee, Aaron berkata, antara tarikan sekuel itu adalah kemunculan idolanya Yun Fat yang digambarkan sebagai seorang yang peramah.

“Kehadiran Yun Fat memeriahkan suasana lokasi penggambaran. Dalam filem ini, dia menjadi pesaing saya dan wataknya sebagai lelaki yang seolah-olah mempunyai dua karakter berbeza.

“Memori paling manis bergandingan dengan Yun Fat ketika mengenali watak masing-masing yang bermula dengan konflik seterusnya bersependapat,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");