Perak Hari Ini

AMANAH Perak Beri Sokongan Kepada Lim Guan Eng

IPOH : Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa terlibat dalam isu rasuah.

Pengerusinya, Asmuni Awi turut melihat pertuduhan itu lebih bersifat politik dan cubaan menimbulkan persepsi buruk terhadap kepimpinan di dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya.

“Isu yang cuba dihadapkan kepada Lim Guan Eng ibarat ‘pertuduhan terpilih’ dan usaha mengalihkan isu besar di dalam negara seperti isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma yang dimasukkan di dalam akuan peribadi Perdana Menteri, Datuk Sri Haji Najib Tun Abdul Razak dan yang terbaru isu pergolakan dalaman UMNO yang cuba disembunyikan.

 “Selain itu, isu pemecatan bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Ahli Umno serta pergantungan keahlian Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Haji Apdal dan terbaru isu perletakan jawatan oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah bagi semua jawatan di dalam Umno baru-baru ini,”katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan, isu-isu yang timbul kini cuba dialihkan oleh Barisan Nasional (BN) dengan bertindak menutup isu yang sedang dihadapi pihak kerajaan ketika ini.

Ujarnya lagi, rakyat wajar tampil mendesak agar isu-isu yang jelas terhadap rakyat serta kepentingan negara yang sepatutnya menjadi keperluan utama yang pihak berwajib perlu selesaikan dan bukannya memilih isu-isu yang hanya berkaitan parti lain selain BN semata-mata.

Terdahulu, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agong DAP dihadapkan di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim Guan Eng juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn di sini daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta, sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");