Berita Hari Ini

KDN selaras warna tajwid, waqaf ibtida’

KUANTAN – Warna tajwid al-Quran dan penandaan waqaf ibtida’ akan diselaraskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dijadikan sebagai garis panduan oleh semua penerbit al-Quran di negara ini.

Pengerusi Lajnah Tasheh Al-Quran KDN, Ustaz Azhari Othman berkata, banyak permohonan dikemukakan oleh penerbit untuk semakan bagi mendapatkan kelulusan perakuan pruf akhir Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN.

“Kebanyakan penerbit menggunakan kaedah warna berbeza antara satu sama lain menandakan tajwid atau waqaf ibtida’ dalam teks al-Quran.

“Dah sampai masanya, kita mempunyai garis panduan yang selaras bagi membantu orang ramai mendapat kefahaman yang sama,” katanya.

Beliau memberitahu, ketidakseragaman penggunaan warna tajwid dan penandaan waqaf ibtida’ dalam al-Quran berwarna, dibimbangi memberi kesukaran pada orang ramai apabila memiliki al-Quran yang diterbitkan oleh penerbit yang berlainan.

Beliau berkata demikian pada bengkel Penyelarasan Garis Panduan Pewarnaan Tajwid al-Quran dan Penandaan Waqaf Ibtida’ selama dua hari di sini.

Bengkel tersebut mempertemukan penerbit, pengimport dan penggiat al-Quran tajwid berwarna dengan Ahli Lembaga Lajnah Tasheh al-Quran KDN.

Seramai 30 peserta, mengadakan perbincangan dalam mencari kata sepakat menghasilkan garis panduan selaras untuk digunapakai oleh semua penerbit al-Quran di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar memaklumkan, tujuan utama mesyuarat atau bengkel tersebut adalah untuk membuat perbincangan dan penyelarasan berkaitan pewarnaan tajwid dan penandaan waqaf ibtida’ dalam al-Quran yang diterbit dan diedarkan di Malaysia.

“Diharapkan perbincangan antara Ahli Lajnah Tasheh al-Quran KDN dan para penerbit yang dijemput menyertai bengkel, dapat merumuskan satu garis panduan yang disepakati oleh para penerbit dan pencetak al-Quran yang menggunakan tanda warna di Malaysia,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");