Membawang Hari Ini

Kegembiraan berganda Izzmad

Izzmad Harun, 22, yang baru saja tampil dengan single terbaru berjudul Bulan Bintang ciptaan Aesar Mustafa teruja dapat menyambut Aidilfitri dengan keluarganya di Teluk Intan, Perak.

Lebih membahagiakan penyanyi itu apabila adik bongsunya, Nur Hazwana Harun, 17, yang menghidap saraf air kepala tersumbat dan hanya terlantar di katil kini sudah boleh berjalan dan baru-baru ini mereka sekeluarga membawanya bercuti di Pulau Pangkor.

Walaupun begitu kata Izzmad, pergerakan adiknya itu tidak secergas dulu tetapi dia gembira kerana Hazwana sudah boleh melihat dunia luar.

“Selepas menjalani lebih 40 kali pembedahan, Hazwana hanya terlantar di katil, tidak boleh bercakap dan berjalan. Segalanya kaku dan diam. Hiba hati saya melihatkan keadaannya. Kini selepas saya memberikannya makanan tambahan iaitu produk yang saya jual sendiri, dia sudah boleh bercakap sedikit dan anggota badan terutama kakinya menjadi lebih kuat.

“Saya tidak meletak harapan tinggi dia akan sembuh seperti sediakala tetapi sekurang-kurangnya dia dapat berdikari semula, boleh berjalan dan menguruskan dirinya sendiri.

“Namun jika Allah SWT mengizinkannya untuk sembuh seperti dulu, kami sekeluarga sangat bersyukur kerana Hazwana anak yang periang dan menjadi penghibur kami sekeluarga ,” katanya.

Sempena kedatangan Syawal, Izzmad memilih mengadakan sesi fotografi Aidilfitri ini di Menara Condong, Teluk Intan, Perak untuk tatapan peminatnya.

“Ibu saya membuka kedai makan di medan selera di hadapan Menara Condong yang menjadi kebanggaan masyarakat setempat.

“Justeru, saya teringin mengabadikan gambar di hadapan menara ini,” katanya yang segak berbaju Melayu.

Izzmad yang gigih mencipta nama sudahpun memiliki album mini yang memuatkan empat lagu iaitu Sahabatku, Inilah Cinta, Aiziah dan Saat Ini ciptaan Rosli Ahmad, Nira Aira serta Faizul Rock.

“Meskipun masih bertatih dalam bidang ini, saya tidak pernah kenal erti putus asa. Selain menyanyi, saya juga mula berlakon dan pengarah pertama yang mengasah bakat saya ialah Shuhaimi Lua Abdullah.

“Dia menawarkan saya beraksi dalam drama Jangan Ambil Botol Itu diikuti Pujaan Malaya yang baru saja tamat penggambaran.

“Saya bertuah kerana mendapat bimbingan daripada abang Shuhaimi yang tidak lokek ilmu. Dia banyak mengajar saya teknik lakonan depan kamera,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");