Berita Hari Ini

Kes tembak: Malaysia sudah jadi negara koboi?

SHAH ALAM – Pemuda Pas membangkitkan persoalan kepada pihak berkuasa susulan kes tembak yang berlaku semalam di khalayak ramai.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya mempertikaikan langkah-langkah proaktif yang telah diambil kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kes-kes seumpama itu.

“Pemuda Pas bersama seluruh masyarakat negara ini melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes-kes jenayah seperti ini. Realitinya, kes tembakan dari jarak dekat dengan menggunakan modus operandi penembak bermotosikal semakin menjadi-jadi di negara ini.

“Adakah negara ini sudah menjadi negara koboi di mana jenayah boleh dilakukan di khalayak ramai tanpa bimbang apa-apa tindakan terhadap pelaku?

“Bagaimanakah peluru dan senjata api boleh lolos dengan begitu mudah dan digunakan secara meluas oleh penjenayah? Apakah ia berpunca daripada kelemahan kawalan di sempadan negara sehingga mengakibatkan senjata api mudah diseludupi dengan berleluasa?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, seorang lelaki maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang selepas ditembak 18 kali oleh dua pembonceng motosikal.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan, merakamkan simpati terhadap keluarga mangsa selain menasihati masyarakat agar menghindari gaya hidup yang boleh mendedahkan diri kepada perbuatan jenayah.

“Perlulah ditegaskan bahawa atas apa jua alasan konflik dan pertelingkahan sekalipun, keadilan wajiblah ditegakkan di mahkamah dan bukannya melalui muncung pistol di jalan raya,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");