Membawang Hari Ini

Kesederhanaan lebaran Ziana Zain, Shiha Zikir

SEBAIK sahaja melangkah ke lokasi penggambaran sesi fotografi istimewa sempena lebaran buat dua nama yang pertama kali dijodohkan dalam satu bingkai lensa, kedua-duanya nyata tiada banyak bicara.

Bagi pemenang naib juara program D’Academy Asia, Shiha Zikir, dia tidak dapat menggambarkan kegembiraan tatkala berpeluang dipadankan bersama penyanyi pujaannya, Ziana Zain.

Sesekali Shiha dilihat memerhatikan gerak-geri bintang seni berusia 48 tahun itu melalui ekor mata. Mungkin beribu kata sedang dikarang rapi dalam kota fikiran tatkala berpeluang bersua wajah dengan idola dikagumi sejak kecil.

Meskipun melebihi angka usia lebih empat dasawarsa, kejelitaan dimiliki penghibur kelahiran Melaka itu nyata masih terpancar pada wajahnya.

Cukup sekadar bertegur sapa, situasi canggung pada awalnya berubah apabila kedua-dua penghibur tersebut saling tidak henti memuji kecantikan antara satu sama lain.

Tidak hanya saling memuji, mereka juga bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman terutama berkaitan pembawaan diri dalam industri hiburan.

Makna lebaran

Tidak pernah lekang dengan senyuman, Ziana memberitahu, keghairahan menyambut lebaran saban tahun adalah peluang berkumpul bersama sanak saudara.

Dibandingkan dengan persiapan, segalanya boleh disediakan dalam keadaan serba baharu tidak mengira sama ada perabot, langsir, atau pakaian. Bahkan ditukar ganti kediaman dan kereta sempena meraikan lebaran juga bisa dilakukan.

Namun, segala kemewahan itu tidak dapat ditukar dengan tali persaudaraan seumpama melakukan urusan jual beli.

Pada pandangan mata pelantun lagu Putus Terpaksa itu, jalinan kasih antara ahli keluarga dan saling bermaafan demi menghapus khilaf satu sama lain di pagi lebaran merupakan momen paling bermakna buat dirinya.

Bukan hanya buat ahli keluarga, bahkan Ziana turut merasakan peminat yang selama ini tidak henti menyokong kerja seninya umpama seperti saudara sendiri.

Mengimbau kenangan manis tatkala bersama peminat, beliau tidak dapat melupakan apabila sebuah keluarga seramai enam orang sanggup menempuh perjalanan dari Segamat, Johor semata-mata untuk bertemunya dalam sebuah majlis sambutan Aidilfitri di Shah Alam, Selangor demi meraikan lebaran.

“Kekal dalam ingatan, mereka sanggup bersusah payah hanya kerana ingin melihat Ziana Zain di depan mata. Terima kasih saya ucapkan kepada peminat kerana tidak henti memberi sokongan.

“Sejak itu, saya sering mengingatkan diri agar menghargai orang yang suka pada kita kerana bukan mudah buat seseorang membenihkan rasa kasih pada orang lain,” tutur Ziana yang sarat pengalaman selama 25 tahun dalam industri seni.

Sambutan sederhana

Menyelami kehidupan figura yang terkenal dengan kening lentik itu, Ziana lebih selesa membuat persediaan menyambut lebaran secara sederhana agar dapat mengelak pembaziran.

Cukup sekadar membeli keperluan menyediakan juadah hari raya, beliau tidak menjadikan status yang duduk di peterana ratu pop Malaysia agar dirinya perlu dilihat lebih menonjol berbanding orang lain.

Menitik berat soal pemilihan pakaian sempena Aidilfitri, Ziana lebih senang memadankan sepasang kurung polos tanpa perlu dihiasi perincian manik atau labuci.

“Disebabkan terlalu kerap menggayakan pakaian yang sarat dengan pelbagai perhiasan saat membuat persembahan membuatkan saya lebih selesa memadankan baju raya yang tidak terlalu ‘meriah’.

“Biarpun ada yang mengatakan tidak sesuai sebagai seorang selebriti sekiranya berpakaian sebegitu tetapi imej ditonjolkan membuat saya berasa lebih selesa,” tutur Ziana lemah lembut.

Imbau kenangan

Pertama kali bertentang mata dengan penghibur kelahiran Pulau Pinang itu terasa seperti bersua wajah dengan penghibur kelahiran Indonesia, Datuk Rossa.

Petah menyusun bicara dalam loghat utara, wajah manis wanita berusia 29 tahun, Shiha secara tiba-tiba mendung tatkala berkongsi kenangan bersama arwah bapanya, Mohd. Zikir Abd. Hamid.

Menyambut lebaran secara sederhana, kehilangan insan yang selama ini menjadi tempat bermanja sejak lima tahun lalu mengubah corak kehidupan Shiha terutama rutin pada pagi Aidilfitri.

“Kali pertama menyambut Syawal tanpa kehadiran abah lima tahun lalu merupakan detik paling sukar. Rasa seperti tidak lengkap sambutan hari raya lebih-lebih lagi ketika ingin memohon maaf dengan kedua orang tua dan ahli keluarga lain pada pagi Aidilfitri,” ujar Shiha sambil melepaskan pandangan kepada bonda tercinta, Rohana Ibrahim yang duduk bersebelahannya.

Dalam nada suara yang rawan, Shiha berkata: “Jika dahulu saya dapat mencium tangan abah pada pagi raya tetapi kini kami sekeluarga hanya dapat menziarahi pusara abah di Kepala Batas, Pulau Pinang.”

Fokus kerja

Dalam kesibukan meraikan lebaran, Shiha turut merangka kemas agenda seninya agar impian untuk berada setaraf dengan kedudukan penghibur berkaliber seperti idolanya, Ziana Zain.

Giat mempromosikan lagu ciptaan komposer terkenal Ajai, single baharu Shiha berjudul Seperti Novel Cinta itu turut dijadikan sebagai lagu tema drama rantaian Lambaian Ramadan.

Tidak hanya terhenti di situ, Shiha akan tampil dengan buah tangan baharu duet bersama kumpulan dari negara seberang, De Meises bertajuk Jangan Bilang Siapa-Siapa.

“Alhamdulillah lagu tersebut mendapat sambutan baik di Indonesia dan insya-Allah saya dan De Meises akan mempromosikan single tersebut di Malaysia.

“Selain itu saya juga akan menjalani sesi penggambaran klip video kedua-dua lagu tersebut dalam tempoh masa terdekat ini,” ujar Shiha sambil mengukirkan senyuman.

Mengukuhkan tapak dalam bidang seni suara, Shiha mengakui dirinya lebih selesa memberi fokus kepada bidang nyanyian sebelum terus mengukir nama sebagai pelakon.

“Tidak dinafikan saya ada mendapat tawaran berlakon di Malaysia dan Indonesia tetapi biarlah fokus itu kepada kerjaya nyanyian terlebih dahulu,” katanya yang pernah membintangi drama rantaian Abang Sado Kau Ado, Fatimah Najwa dan Terukir Di Bintang.

-Kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");