Jenayah

Nenek dera cucu tiri dipenjara 24 bulan

KUALA TERENGGANU- Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang nenek yang tergamak mendera cucu tiri baru berusia empat tahun pada tahun lalu terbalas apabila dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Keputusan dibuat selepas Nuraini Roslan, 28, mengaku salah atas pertuduhan telah menganiayai kanak-kanak perempuan yang juga cucu tirinya berusia empat tahun (semasa kejadian) sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.

Dia mengaku salah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak iaitu nenek tiri kepada mangsa melakukan perbuatan berkenaan bersama suaminya yang juga datuk kepada mangsa, di sebuah rumah di Kampung Banggol, Setiu, antara bulan Febuari hingga 3 Ogos 2015.

Dengan itu, dia mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Bagi kesalahan itu, Nuraini boleh dihukum denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Sebelum ini, pada Disember tahun lalu, suami Nuraini yang juga datuk kepada mangsa dihukum penjara 30 bulan selepas mengaku salah atas pertuduhan sama.

Berdasarkan fakta kes, kejadian menimpa kanak-kanak malang itu hanya disedari pada 3 Ogos 2015 ketika mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, oleh bapa saudaranya bagi mendapatkan rawatan.

Ketika itu, petugas hospital di zon kuning HSNZ mendapati mangsa cedera kerana didakwa telah terjatuh ketika sedang bermain.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati terdapat banyak kesan lebam lama dan baru serta luka lama dan baru di seluruh tubuh mangsa.

Petugas hospital itu mensyaki mangsa telah didera secara fizikal berdasarkan pemeriksaan tersebut dan bapa saudara yang menghantar mengakui perkara itu serta memberitahu dia diminta supaya membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh datuknya.

Keesokan harinya, 4 Ogos 2015, lebih kurang jam 2 petang, pasangan suami isteri itu telah menyerah diri di Balai Polis Permaisuri, Setiu.

Berdasarkan keterangan beberapa saksi yang melihat kejadian itu memberitahu sebelum ini, mangsa telah ditumbuk dan dipukul di bahagian mata sebanyak dua kali oleh datuknya sendiri.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");