Membawang Hari Ini

Platform wanita berdakwah

Berharap program realiti Da’i menjadi satu daripada platform untuk wanita lebih ke hadapan dalam berhujah di khalayak ramai, penerbitnya, Shukri Ibrahim mahu lebih ramai penyertaan dalam kalangan wanita.

Ini kerana untuk musim keempat kali ini hanya dua peserta wanita yang layak dan mempunyai kebolehan beraksi serta bercakap di depan penonton.

Tahun ini, program yang menggunakan tagline Da’i Pendakwah Nusantara itu menampilkan 11 peserta dan sembilan daripadanya peserta lelaki.

“Pada asalnya kami memilih 15 peserta untuk bertanding, tetapi selepas mengkaji semula dan menapis mereka, kami dapati hanya 11 yang layak.

“Daripada jumlah itu, hanya dua peserta wanita yang kami lihat benar-benar bagus dan berkualiti. Agak sukar untuk kami membuat pemilihan kali ini kerana jumlah penyertaan wanita tidak ramai menyebabkan kami tidak dapat menyelaraskan sama rata penyertaan daripada lelaki dan wanita,” katanya.

Namun, biarpun menjadi peserta minoriti dapat dilihat wanita yang berjaya menjadi juara untuk musim terdahulu.

“Justeru, untuk kali ini kami juga tidak menolak jika wanita menjadi juara lagi kerana dapat dilihat apabila mereka sudah berada di pentas mereka lebih cekap menguasai apa yang perlu diutarakan sehingga sering menjadi perhatian dan kegemaran penonton,” katanya.

Da’i musim keempat menemui penonton bermula Ahad ini jam 9 malam di TV3. Program realiti tajaan Almas Beauty & Health itu menampilkan Datuk Rosyam Nor dan Zainal Ariffin Ismail pengacara bersama.

Diketuai Mentor, Datuk Ustaz Kazim Elias peserta turut dibimbing dua mentor iaitu Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali dan Dr Robiah K Hamzah.

Semua peserta akan dinilai oleh juri tetap profesional iaitu Ustaz Dr Izhar Arif dan Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud serta 10 peratus markah dinilai juri awam.

Da’i Pendakwah Nusantara kali ini turut menampilkan tetamu istimewa dari beberapa negara seperti Mesir, Indonesia dan Thailand.

Dalam pada itu, selepas mendengar pendapat daripada Ustaz Kazim yang berharap peserta disingkir pada minggu keempat atau kelima, Shukri bersetuju dengan pendapat itu.

“Saya melihat pendapat Ustaz Kazim itu ada betulnya. Jika peserta disingkir pada minggu pertama atau kedua terlalu awal untuk mereka mempelajari apa yang ada di dalam program ini.

“Melalui tempoh minggu keempat iaitu kira-kira sebulan ia sudah dikira lama untuk mereka belajar apa yang diberikan setiap mentor. Oleh itu, kami akan mempertimbangkan untuk mengadakan penyingkiran pada minggu keempat.

“Pun begitu, kami tidak menolak andai pada minggu penyingkiran itu akan ramai yang dikeluarkan. Mungkin tiga atau empat peserta sekali gus,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");