Jenayah

508 mesin judi dirampas dalam Op Dadu di Kedah

ALOR SETAR: Polis Kedah merampas 508 mesin judi melalui Op Dadu yang dijalankan di sembilan daerah di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Serbuan antara 1 Januari hingga Ahad lalu itu membabitkan pemeriksaan dua jenis premis yang menawarkan khidmat Pusat Hiburan Keluarga (PHK) dan judi dalam talian.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata daripada lebih 186 serbuan yang dijalankan, Kota Setar mencatat jumlah tertinggi dengan 100 serbuan, termasuk 86 di PHK.

Katanya, tiga lagi daerah yang turut menjadi tumpuan Op Dadu ialah Kulim dengan 43 serbuan serta Kuala Muda dan Kubang Pasu, masing-masing 13 serbuan.

“Dari segi rampasan pula, 457 daripada 508 mesin judi dirampas di premis yang menawarkan khidmat judi dalam talian, manakala baki 52 lagi dirampas di PHK,” katanya selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan penyampaian surat penghargaan, di sini hari ini.

Zamri berkata, hasil serbuan Op Dadu juga, 469 tangkapan dilakukan membabitkan individu berusia antara 20 hingga 60 tahun dengan nilai keseluruhan wang tunai yang dirampas RM42,239.

“Kita jalankan operasi secara agresif bagi membanteras kegiatan judi ini, termasuk membuat serbuan di PHK yang menyalahguna lesen dengan meletakkan mesin judi di situ.

“Semua kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Kedah 1997,” katanya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");