Berita Hari Ini

Media harus kerjasama beri gambaran sebenar Islam

CYBERJAYA – Organisasi media di Malaysia harus bekerjasama dalam memberi gambaran sebenar mengenai Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata saluran berunsur Islam perlu bersaing secara sihat dalam meneroka pasaran kandungan Islamik yang besar, sekali gus menyampaikan makna Islam sebenar iaitu kesejahteraan serta keamanan dan bukannya keganasan.

“Kaedah persembahan, kandungan dan pendekatan kepada kumpulan sasaran hendaklah bukan hanya menjurus kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam, bukan bertujuan untuk mereka masuk Islam tetapi memberikan gambaran Islam sebenarnya.

“Kita mahu Islam dihormati dengan makna sebenarnya dan pada waktu yang sama kita juga harus menghormati agama lain sebagaimana agama lain menghormati kita kerana sifat keharmonian ini yang mahu diwujudkan oleh Islam,” katanya pada Jamuan Aidilfitri TV AlHijrah di AlHijrah Big Studio, di sini hari ini.

Pada majlis yang dihadiri 1,000 tetamu itu, Timbalan Perdana Menteri turut melawat pameran eksklusif Artifak Rasulullah dan Sahabat yang mempamerkan lebih 20 barangan bersejarah.

Sementara itu, Ahmad Zahid mencabar TV Alhijrah untuk tidak bergantung kepada geran daripada kerajaan dan menghasilkan pendapatan sendiri.

Memberi contoh Kumpulan Media Prima dan Astro, beliau berkata TV AlHijrah mampu untuk berdiri sendiri melalui sokongan dan tajaan daripada pengiklan mengikut profil pasaran penontonnya.

Untuk itu, katanya, beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum pembentangan Bajet 2017 supaya syarikat yang telah mendapat pensijilan halal diberikan insentif pengecualian cukai apabila mengiklankan produk atau menaja program TV AlHijrah.

“Mereka (TV AlHijrah) baharu sahaja bertatih selama enam tahun, selama ini mereka diberikan tongkat (geran) dan kini saya mahu mereka berlari sebagai organisasi media yang mencakup penonton lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Islam pada hari ini berdepan perang persepsi dan ideologi yang boleh ditangani melalui peranan media.

“Media perlu mengambil tanggungjawab untuk menampilkan Islam yang sebenar supaya isu ekstremis radikal dan golongan yang menjenamakan Islam tetapi langsung tidak menggambarkan Islam sebenar, dapat ditangani” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");