Membawang Hari Ini

Angkat genre R&B, hip hop

Lagu baru berjudul Jangan Marah semakin mendapat tempat di hati pencinta muzik tanah air.

Lagu dendangan penyanyi Ernie Zakri ini kerap diputarkan di corong radio dan menjadi pilihan pendengar.

Rentak R&B yang ditampilkan dalam Jangan Marah mengimbau lagu popular dendangan penyanyi kulit hitam Amerika Syarikat.

Di bahagian korus pula, komposer DJ Fuzz bijak mengadunkan genre raggae bagi menambah warna dalam lagu ini.

Di samping melodi yang ada kelas tersendiri, lantunan vokal mantap Ernie mengangkat lagu ini ke tahap yang boleh dibanggakan.

Liriknya apabila diamati sangat ‘catchy’ dan mudah melekat di hati pendengar.

Jangan Marah mengisahkan gadis yang kadangkala ada sikap keanak-anakan dan mahukan perhatian daripada kekasihnya.

Apabila kurang perhatian, dia mula memberontak dan kemudian dihantui rasa bersalah. Si gadis kemudian meminta ruang untuk memberi penjelasan sebelum kekasihnya marah.

Mengulas lanjut lagu ini, Fuzz berkata dia mahu menyajikan karya genre R&B yang mesra telinga.

“Sebelum ini, saya pernah hasilkan single untuk Ernie namun kurang mendapat perhatian. Kolaborasi kedua ini nampaknya menjadi.

“Saya cuba hasilkan lagu R&B yang ada jiwa tetapi pada masa sama mahu ia mesra telinga,” katanya.

Bercerita mengenai sesi rakaman lagu ini, Fuzz berkata prosesnya lancar dan mudah.

“Kita sedia maklum dengan bakat yang dimiliki Ernie. Dia boleh menyanyi dengan baik dan sangat berkobolehan.

“Sewaktu rakaman berlangsung, saya tidak perlu berada di dalam studio kerana yakin kemampuannya,” kata Fuzz.

Fuzz mengakui cukup berpuas hati dan berterima kasih kepada Ernie kerana berjaya membawa lagu ini ke satu tahap baru.

“Saya membesar dengan lagu hip hop dan R&B tetapi sedar genre ini kurang mendapat perhatian di Malaysia.

“Jadi, saya mengucapkan terima kasih kepada Ernie kerana berjaya mengangkat genre ini,” katanya.

INFO:

Lagu: Jangan Marah

Penyanyi: Ernie Zakri

Komposer: DJ Fuzz

Penulis lirik: Viral

Terbitan: FMC Music Sdn Bhd

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");