Jenayah

Ibu muda mengaku salah bunuh anak

Sungai Petani: Seorang ibu muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan membunuh secara tidak sengaja anak perempuannya yang berusia dua tahun dalam kejadian awal bulan ini.

Tertuduh, Aida Amira Harun, 22, yang memakai seluar sukan berwarna coklat dan baju-T berwarna maroon kelihatan tenang sambil mengangguk faham ketika membuat pengakuan selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim M Vijayalakshmi.

Mengikut kertas pertuduhan, Aida Amira yang beralamat di Taman Markisah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang didakwa mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang dengan menyebabkan kematian Ainul Solehah Mohd Husamuddin.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani, antara jam 9.10 malam hingga 9.40 malam pada 10 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Syamsul Sinring manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas wanita yang turut mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun itu, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 September depan untuk lantikan peguam sebelum menjatuhkan hukuman.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan maut dipercayai didera ibu dan teman lelakinya di rumah mereka di Amanjaya, di sini.

Kejadian itu terbongkar selepas wanita terbabit membawa anaknya ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, kira-kira jam 9.30 malam pada 10 Ogos lalu.

Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan selepas mengalami kecederaan dalaman dan kesan lebam baru serta lama.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");