Sukan Hari Ini

Kim Swee lega tapi…

Kuala Lumpur: Meskipun skuad Harimau Malaysia berjaya mengelak berdepan Thailand pada peringkat kumpulan saingan Piala AFF bermula November ini, ia langsung tidak memberi kelebihan buat Datuk Ong Kim Swee (gambar) apabila menegaskan cabaran pasukan lain juga cukup getir.

Malaysia yang muncul naib juara di belakang Thailand pada edisi dua tahun lalu, akan berada dalam Balang 2 bersama skuad kendalian Kiatisuk Senamuang itu, bermakna mereka akan dipisahkan di peringkat kumpulan, sekali gus mencerahkan peluang pasukan negara berada di pentas final buat kali kedua berturut-turut.

Begitupun, Kim Swee enggan terlalu yakin dengan peluang anak buahnya sebaliknya mahu mengambil pendekatan realistik dengan mengambil satu demi satu perlawanan.

Katanya, jika prestasi semasa pasukan lain di rantau ini diambil kira terutama ketika kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 baru-baru ini, boleh dikatakan laluan pasukan negara agak sukar.

“Walaupun Thailand bukan sekumpulan dengan kita nanti, prestasi empat pasukan lain seperti Vietnam, Filipina, Myanmar dan Singapura tidak boleh diperlekehkan, apatah lagi mereka layak ke saingan peringkat ketiga kelayakan Piala Asia berbanding kita yang terpaksa mengharungi pusingan play-off ketika bertemu Timor Leste.

“Justeru, saya tidak anggap laluan kita mudah di peringkat kumpulan kerana pasukan lain juga semakin baik. Malah, Indonesia juga bagi saya penuh dengan rahsia selepas mereka baru saja keluar daripada penggantungan FIFA (Persekutan Bolasepak Antarabangsa).

“Apapun, perkara paling mustahak bagi saya adalah persediaan kita untuk menghadapi saingan itu daripada memikirkan mengenai pasukan lain,” katanya yang akan berangkat ke Yangon, Myanmar pagi ini bagi mengikuti majlis undian yang akan berlangsung pada jam 8.30 malam.

Pada majlis undian di Hotel Novotel Yangon Max di Yangon nanti, lapan pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan empat pasukan akan beraksi dalam Kumpulan A dan empat lagi Kumpulan B dengan saingan peringkat kumpulan itu berlangsung dari 19-26 November di Myanmar dan Filipina.

Balang 1 akan menampilkan dua pasukan tuan rumah bersama, Myanmar dan Filipina diikuti Balang 2 yang diisi finalis edisi 2014 – Thailand dan Malaysia.

Balang 3 pula mempunyai Singapura dan Vietnam manakala Balang 4 diisi Indonesia dan juara pusingan kelayakan, sama ada Kemboja (tuan rumah kelayakan), Laos, Timor Leste atau Brunei.

Pusingan kelayakan itu akan berlangsung di Phnom Penh dari 15-21 Oktober.

Aksi separuh akhir timbal balik akan diadakan 3 dan 4 Disember serta 7 dan 8 Disember, disusuli aksi final timbal balik pada 14 dan 17 Disember ini.

Mengikut rekod, Malaysia pernah sekali juara pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal, naib juara dua kali pada edisi sulung 1996 dan 2014 serta lima kali tewas di separuh akhir pada 2000, 2002, 2004, 2007 dan 2012.

Hanya dua kali Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan iaitu pada 1998 dan 2008.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");