Sukan Hari Ini

Kuantan FA kecewa, FAM berdiam diri

KUANTAN – Pengurus Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan kecewa kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memberi sebarang kata putus berhubung penggantungan ketua jurulatih pasukan itu.

Beliau berkata mereka sudah beberapa kali membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman penggantungan tujuh bulan yang dikenakan ke atas Zulhamizan Zakaria, namun masih dipandang sepi oleh badan induk bola sepak negara itu.

“Penggantungan tujuh bulan yang dikenakan ke atas Zulhamizan adalah terlalu lama dan kita sudah mengemukakan rayuan beberapa kali bagi meringankan hukuman itu.

“Tetapi malangnya sehingga kini tiada jawapan yang diberikan oleh FAM dan yang menjadi mangsa dalam situasi ini ialah Kuantan FA kerana kami terpaksa menanggung beban untuk membayar gaji kepada Zulhamizan walaupun dia digantung.

“Dalam masa yang sama kami juga tidak dapat menggantikan dia dengan jurulatih lain ekoran FAM gagal memberikan keputusan segera terhadap rayuan itu,” katanya.

Wan Solihi berkata beliau berharap kemelut tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia memberikan imej negatif kepada FAM yang sebelum ini sudah banyak tercalar.

“Hukuman ke atas Ketua Jurulatih Perak, Syamsul Saad hanya digantung empat perlawanan berbanding Zulhamizan yang dikenakan penggantungan selama tujuh bulan, sedangkan kesalahan yang dilakukan adalah sama,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, FAM menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tatatertibnya telah menggantung Zulhamizan susulan tindakan jurulatih itu mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah terhadap pengadil perlawanan semasa perlawanan Liga Perdana antara Kuantan FA dan UiTM FC serta semasa Piala FA, menentang Perak. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");