Sukan Hari Ini

LANGKAH JUARA

Shah Alam: Misi Selangor untuk mempertahankan Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut tampak cerah apabila melakar kemenangan tipis 3-4 ke atas PKNS FC pada suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selangor yang dihimpit pelbagai kontroversi sepanjang minggu lalu membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan Ugo Ukah yang bijak memanfaatkan sepakan percuma Azmi Muslim.

Penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri menambah duka PKNS dengan gol kedua apabila rembatan dari luar kotak penaltinya tertampan pertahanan lawan sebelum menerjah jaring pada minit ke-25.

Bagaimanapun, berselang tiga minit awang import tuan rumah dari Argentina, Juan Cobelli merapatkan kedudukan menjadi 1-2 menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang Matias Hadwa di sebelah kanan.

Bersambung babak kedua, pelawat menambah tekanan ke kubu tuan rumah dan hasilnya tonggak sayap Selangor, R Gopinathan menambah gol ketiga Selangor pada minit ke-51.

Ketinggalan 1-3 langsung tidak mematahkan semangat anak buah E Elavarasan apabila memanfaatkan sebaiknya sepakan percuma Gabriel Guerra pada minit ke-59 yang menggegar palang sebelum Gonzalo Soto mudah menolak masuk percubaan rakan sepasukannya itu.

Gol itu ternyata menyuntik semangat skuad Semut Merah bagi memburu jaringan penyamaan dan kali ini Guerra tidak melepaskan peluang apabila menyudahkan hantaran Cobelli pada minit ke-73 untuk mengikat kedudukan 3-3.

Tersentak dengan kebangkitan dramatik PKNS itu, pelawat cuba memperkemaskan permainan dengan hantaran silang Hazwan pada minit ke-80 tepat menemui kepala Patrick Ronaldinho namun tandukan penyerang tinggi lampai itu tersasar jauh.

Mauro Olivi yang dimasukkan bagi menggantikan Hazwan membalas kepercayaan pengendali pasukan, K Gunalan apabila rembatan derasnya dalam kotak penalti pada minit ke-85 gagal dihalang penjaga gol tuan rumah, Norhaziq Aris.

Jaringan Olivi itu ternyata cukup berharga buat Red Giants apabila keputusan 3-4 itu kekal hingga tamat aksi 90 minit dengan kedua-dua pasukan bakal bertemu semula pada 17 September ini di gelanggang sama.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");