Sukan Hari Ini

PDRM langkah kanan

Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC memulakan saingan suku akhir pertama Piala Malaysia dengan langkah kanan apabila berjaya ‘membedil’ Kelantan untuk kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Turun dengan iltizam tinggi, pemain Kelantan mempamerkan corak permainan agak agresif apabila melakukan serangan sebaik separuh masa pertama bermula.

Menyedari perlunya mencari bekalan selesa, jentera serangan Kelantan diketuai penyerang import, Wander Luiz berusaha menembusi kubu lawan bersama pemain prolifik, Indra Putra Mahayuddin dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Penguasaan Kelantan hanya bertahan lima minit sebelum kapten The Cops, Md Safuwan Baharudin mengejutkan kira-kira 7,000 penyokong setia tuan rumah dengan gol pembukaan pada minit ke-5.

Tersentak jaringan awal pelawat, skuad kendalian Velizar Popov cuba mengubah corak permainan dengan melakukan serangan balas, namun mudah dipatahkan lawan.

Kelantan memperoleh peluang keemasan pada minit ke-12 menerusi Mohamad Qayyum, namun, sepakan pemain muda itu sedikit melewati palang gol.

Kesungguhan pemain Kelantan berbaloi apabila Indra Putra berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-14, menewaskan penjaga gol PDRM Muhd Haziq Nadzli sebaik mendapat lorongan Wan Zack Haikal.

Namun, kelegaan tuan rumah hanya bertahan seketika apabila kerapuhan benteng pertahanan Kelantan dihukum buat kali kedua menerusi sepakan padu penyerang import PDRM Guilherme de Paula pada minit ke-22.

Akibat gol kedua PDRM itu, aksi pemain Kelantan semakin longlai dan hilang tumpuan bagi memudahkan pasukan bimbingan Mohd Fauzi Pilus rakus menyerang kubu tuan rumah.

Bersambung babak separuh masa kedua, menyedari mereka semakin terdesak, Popov mula melakukan sedikit rombakan posisi untuk membantu barisan depan.

Kemasukan pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria atau Kechik serta Blazhe Ilijoski menggantikan Wander Luiz dan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi dilihat merancakkan sedikit rentak permainan Kelantan.

PDRM turut mengubah strategi permainan apabila dilihat lebih banyak bertahan di kubu mereka bagi mengelakkan Kelantan memperoleh gol.

Namun, malang buat PDRM apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas bek pertahanannya, K Reuben diperintahkan keluar padang pada minit ke-59 kerana menerima kad kuning kedua seterusnya kad merah akibat mengasari Indra Putra.

Kesempatan itu diambil pemain Kelantan untuk menggandakan asakan terhadap kubu lawan, namun, masih gagal menembusinya sekalipun memperoleh banyak peluang keemasan.

Kem PDRM terus ditimpa malang apabila Guilherme pula menjadi pemain kedua dibuang padang pada minit ke-89 kerana menerima kad kuning kedua selepas sengaja lengahkan masa permainan.

Bagaimanapun, masa terus mencemburui Kelantan apabila masih buntu untuk mencari gol penyamaan sekalipun PDRM terpaksa bermain dengan sembilan orang.

Kelantan akhirnya memilih laluan berliku untuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia manakala kelebihan dua gol di tempat lawan memberi keselesaan kepada PDRM sebelum pertemuan kedua di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 17 September depan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");