Berita Hari Ini

Pelajar perubatan dipelawa berlatih dengan ATM

KUANTAN – Pelajar perubatan dialu-alukan untuk menjalani program latihan di tiga buah hospital Angkatan Tentera dan 73 pusat perubatan Angkatan Tentera di seluruh negara.

Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pusat perubatan ini mengendalikan kes-kes melibatkan anggota tentera, keluarga mereka dan bekas tentera, oleh itu memberi mereka peluang terbaik untuk mempelajari dan meningkatkan kemahiran.

“Kami tidak membuka pusat perubatan itu kepada awam disebabkan masalah kewangan tetapi kami menerima kes-kes kecemasan melibatkan komuniti awam berdekatan. Kami juga terlibat dalam banyak projek komuniti, baik tempatan mahupun antarabangsa.

“Sebab itulah kami tidak keberatan membawa mereka (pelajar perubatan) untuk latihan tetapi untuk mengambil mereka bekerja adalah isu lain kerana kami memerlukan bajet,” kata beliau selepas merasmikan Pertukaran Kesihatan Ketenteraan Asia Pasifik 2016 (APMHE16) di sini, hari ini.

Bertemakan “Global Health Inter-operability”, persidangan lima hari itu dianjurkan bersama oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (MAFHQ) dan United States Pacific Command Surgeon’s Office (US Pacom) melibatkan 500 pengamal perubatan tentera dari 28 negara.

Zulkifeli juga berkata, hospital dan pusat perubatan Angkatan Tentera mempunyai kemudahan lengkap yang membolehkan hospital itu digunakan sebagai hospital latihan oleh Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Saya juga ingin menarik perhatian bahawa kami juga dihubungi oleh angkatan tentera Timur Leste untuk membantu membangunkan perkhidmatan kesihatannya. Kami telah beberapa kali menemui mereka untuk membincangkan perkara itu dan mereka telah menghantar wakil mereka ke hospital-hospital berkenaan,” katanya.

Zulkifeli juga berkata, Angkatan Tentera sedang mempertimbangkan untuk mengubahsuai atau membina semula hospital tertuanya di Terendak, Melaka yang telah beroperasi sejak zaman British.

“Kami mempunyai beberapa dewan bedah dan perkhidmatan pergigian di sana dan kami mahu meningkatkan infrastruktur. Kami perlu berfikir bagaimana untuk melakukannya dan bagaimana untuk membiayai projek tersebut,” katanya.

Mengenai persidangan itu, Zulkifeli berkata, agenda utamanya ialah membincangkan isu-isu global berkaitan seperti bencana alam, penyakit berjangkit dan langkah-langkah pencegahan intervensional untuk menangani kesannya.

“Objektif persidangan ialah untuk membincangkan mengenai usaha dan amalan perubatan tentera masa kini ke arah kefahaman bersama dalam bidang seperti operasi sokongan ketenteraan dalam bantuan bencana dan bagaimana untuk meningkatkan rawatan perubatan,” katanya.

Zulkifeli menambah, para peserta dapat bertukar-tukar pengalaman teknologi perubatan terkini dalam bidang perubatan maritim, perubatan medan tempur, penyakit berjangkit dan perubatan penerbangan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");