Kehadiran filem Don’t Breathe di pawagam membuatkan beberapa karya triler baru pada minggu ini boleh ‘tutup buku’.
Filem ini penuh dengan tekanan dan gelisah (suspens) sehingga boleh dianggap sebagai genre triler terbaik pernah dihasilkan tahun ini.
Premis filem cukup ringkas, sekumpulan remaja cuba pecah masuk rumah lelaki buta untuk mencuri wang. Menariknya, lelaki tua buta itu lebih cekap berbanding apa yang mereka fikirkan.
Biarpun di segi ‘set-up’ filem biasa-biasa dan nampak murah, sebaik saja cerita berkembang, filem ini tidak kelihatan sia-sia.
Pengarah ada visi unik tersendiri dalam menjadikan filem ini cita rasanya, bukan cuba mencedok daripada karya hebat sebelum ini.
Namun, peminat filem genre serupa seperti karya Hitchcock, Fincher atau Wait Until Dark pasti nampak dari mana filem ini mendapat inspirasi.
Don’t Breathe memang secara jelas berkaitan sinematik, kurang pergantungan kepada dialog dan lebihkan kepada penceritaan visual dan bunyi untuk membawa filem ke depan.
Di segi sinematografi juga menarik termasuk reka bunyi kreatif sehingga ia menjadi sebahagian daripada karakter dalam filem itu sendiri.
Barisan pelakon, biarpun kecil mereka tetap memberi impak termasuk Jane Levy yang boleh menjadi ratu filem seram abad ini selepas berjaya menonjolkan watak melalui filem ini dan Evil Dead sebelum ini.
Dylan Minnette juga melontarkan rasa yang bagus melalui watak, sehingga berjaya melahirkan rasa simpati pada karakter dibawa.
Kedua-dua pelakon muda ini benar-benar diuji dan persembahan fizikal mereka berjaya ‘dijual’ serta meyakinkan penonton.
Lakonan Stephen Lang paling bersinar. Sebagai antagonis, Lang ternyata meninggalkan kesan hebat.
Jika ada sisi ‘busuk’ pasal filem ini, rasanya ‘twist’ pada plot cerita yang kurang menjadi. Rumusannya, Don’t Breathe memiliki pencapaian teknikal tersendiri,
yakni studio asing yang berjaya mengangkat filem ini lebih sekadar medium cerita.
INFO
FILEM: Don’t Breathe
ARAHAN: Federico Alvarez
PELAKON: Jane Levy, Dylan Minnette, Daniel Zovatto, Stephen Lang
GENRE: Aksi triler
TAYANGAN: 25 Ogos 2016
ULASAN: Amirul Haswendy Ashari
-harian metro