Berita Hari Ini

Program Sekolah Amanah diperluas

JOHOR BAHRU – Model Program Sekolah Amanah akan diperluas kepada lebih banyak jenis sekolah membabitkan kumpulan minoriti, murid berkeperluan khas dan kawasan luar bandar dalam usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon berkata, ia selaras hasrat kementerian itu untuk menambah bilangan Program Sekolah Amanah kepada 700 sekolah menjelang 2025.

Menurutnya, Kementerian Pendidikan bukan sahaja bercadang untuk menambah bilangan sekolah tetapi jenis sekolah yang terlibat.

“Kementerian melihat masa hadapan lebih cerah jika program ini dikembangkan dengan melibatkan pelbagai jenis sekolah seperti kumpulan minoriti, murid berkeperluan khas dan sekolah luar bandar.

“Sehubungan itu, diharapkan lebih banyak penglibatan sektor korporat secara berterusan dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan melalui penambahbaikan dan keberkesanan pembelajaran di sekolah untuk membangunkan potensi dan meningkatkan keberhasilan murid.

“Saya juga berasa amat positif berdasarkan kecemerlangan dan keberhasilan murid ditonjolkan oleh sekolah bawah Program Sekolah Amanah serta komitmen Yayasan Amir dan penaja terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Program Sekolah Amanah, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Amir, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda.

Persidangan bertemakan Inovasi Menjana Kelestarian Transformasi Pendidikan dihadiri seramai 900 peserta melibatkan pemimpin sekolah, pendidik, murid, ibu bapa dan warga Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah seluruh negara.

Raja Arshad berkata, program itu bermula pada 2010 dengan 10 sekolah rintis di Johor dan Sarawak, dengan sehingga kini sebanyak 62 sekolah daripada sembilan negeri melibatkan hampir 49,000 murid.

“Dalam persidangan ini, sebanyak 23 pembentangan dilakukan oleh guru dan murid meliputi bidang inovasi dalam strategi pembelajaran dan pengajaran.

“Ia melibatkan penggunaan elemen lagu, paparan interaktif dan teknologi peningkatan prestasi akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan pelajar, pemupukan minat membaca dalam kalangan pelajar dan pembentukan hubungan erat antara ibu bapa, komuniti dan guru,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");