Membawang Hari Ini

‘Tiada istilah merajuk’

Selepas kontroversi membabitkan filem epik Rentap dua tahun lalu, pelakon dan produser muda Diana Johor seakan-akan menyepikan diri.

Malah, ada segelintir pihak mendakwa Diana merajuk dengan industri seni dan berhasrat meninggalkan bidang lakonan.

Diana bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

“Tiada istilah merajuk dengan industri seni. Saya masih mencintai bidang ini, malah ia sudah sebati sejak dulu.

“Cuma, buat masa ini saya perlukan ruang untuk menenangkan fikiran dan mencari kekuatan dalam diri,” katanya.

Dia mengakui kecewa dengan kontroversi filem Rentap yang diusahakan dengan kembarnya, Lina sebelum ini.

“Saya meletakkan sepenuh kepercayaan dan harapan terhadap filem ini. Kerana itu, saya sangat kecewa apabila penggambaran filem ini tidak siap seperti direncanakan.

“Selepas dua minggu penggambaran, saya terpaksa menghentikan penggambaran kerana rumah panjang tidak siap seperti dijanjikan.

“Kelewatan itu menyebabkan kos penggambaran meningkat kerana pasukan produksi dan pelakon tambahan sudah berada di lokasi seperti yang dijadualkan.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki saya merancang menerbitkan semula filem Rentap,” katanya.

Filem epik Rentap arahan Hashim Rejab terbitan Unique Twins Sdn Bhd diterajui pelakon Zachery Francis, Livonia Ricky dan Jasmine Chin.

Berlakon produksi sendiri

Walaupun sudah lama tidak berlakon ia tidak bermakna dia sudah bersara.

Jelas Diana, buat masa ini, dia lebih selesa beraksi dalam drama dan filem terbitan produksi sendiri.

“Drama terakhir lakonan saya ialah Mana Hilangnya Juwita dan filem terakhir, Love, Supermoon,” katanya

Dalam masa sama dia merancang menerbitkan program travelog.

“Semuanya masih dalam perancangan lagi. Apa yang pasti bukan dalam masa terdekat.

“Maklumlah, saya juga sibuk menguruskan bisnes Hotel Pelangi milik keluarga dan terpaksa berulang-alik dari Muar, Johor ke Kuala Lumpur. Ia memenatkan,” katanya.

Ditanya penampilan seksinya, Diana berkata dia pakai apa yang dirasakan selesa.

“Penampilan saya tidak keterlaluan dan menjolok mata.

“Insya-Allah, mungkin satu hari nanti pintu hati saya terbuka untuk kembali berhijab,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Diana sibuk dengan bisnes produk kecantikan.

“Alhamdulillah, setakat ini, sambutan sangat menggalakkan.

“Produk ini masih baru di pasaran, tetapi sudah banyak terjual terutama di Johor.

“Kalau berminat boleh hubungi saya di Facebook : Leanne by Diana Johor atau Instagram Leanne_by_dianajohor,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");