Sukan Hari Ini

Fazli idam miliki pasukan sendiri

PELUMBA Petronas Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham berharap dapat menebus kesilapan pusingan lalu dan kembali menaiki podium pada perlumbaan pusingan ketujuh di Pasir Gudang, Johor, minggu ini bagi meneruskan misi untuk meraih gelaran ketiganya dalam saingan kelas perdana.

Juara dua kali kelas perdana itu berharap dapat menamatkan menamatkan kariernya dengan cemerlang dan pada masa sama sudah mempunyai perancangan untuk memiliki pasukan sendiri jika bersara dari dunia perlumbaan Cub Prix sebagaimana yang dilakukan ramai bekas pelumba seperti Ahmad Fuad Baharudin, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Yong Yin Hoe, Soong Chee Kieong dan ramai lagi.

Pada usia 34 tahun, pelumba kelahiran Taiping itu meraih pelbagai gelaran sepanjang belasan tahun terlibat dalam pelbagai perlumbaan termasuk juara berganda Kelas Novis pada 2007 dan 2008 serta juara Underbone Kejuaraan Motosikal Asia FIM pada tahun 2004.

Fazli percaya memiliki pasukan sendiri dan melahirkan bakat muda negara pada satu hari nanti adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan seandainya tidak lagi bergelar pelumba pada satu hari nanti.

“Jika sudah sampai masanya untuk bersara, jalan terbaik tentulah dengan menubuhkan pasukan sendiri untuk terus menyumbang dan berada dalam dunia sukan permotoran ini. Dengan cara ini, mungkin saya masih berpeluang untuk berada di atas podium tanpa perlu menyarung sut perlumbaan itu sendiri,” ujar Fazli yang memiliki bengkel motosikal sendiri di Taiping.

Malah Fazli yang kini menghuni tangga kedua keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang juga juara CP130 musim 2015 bagi merealisasikan impian.

“Kami harap dapat menubuhkan pasukan sendiri dalam tempoh terdekat, mungkin tahun depan atau 2018 namun dengan keadaan ekonomi semasa, bukan mudah dapatkan penajaan. Kami akan usaha sedaya upaya dapatkan sejumlah dana yang diperlukan dan jika berjaya, tentunya langkah permulaan kami dengan beraksi dalam Kelas Wira. Selain mengembangkan bakat pelumba muda, pastinya kami akan berusaha untuk terus mengembangkan pasukan kami,” katanya.

Setakat tujuh pusingan musim 2016, Fazli kini menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 98 mata, 27 mata ketinggalan di belakang rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayudin.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");