Jenayah

Korban malam ambang merdeka

BESUT- Seorang pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila maut apabila digilis dan diseret beberapa meter oleh sebuah kereta di jalan Institut Kemahiran Mara (IKM) dekat Alor Lintang, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, mangsa Muhammad Aiman Hakimi Mohd Ashri, 16, menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika kereta berkenaan yang dipandu lelaki berusia 29 tahun dari arah Alor Lintang menghala ke Kampung Batu Tumbuh.

Menurutnya, pemandu itu memberitahu ketika sampai di tempat kejadian, dia melihat motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan hilang kawalan dan memasuki laluannya sebelum terjatuh.

“Pemandu kereta yang beralamat di Kampung Tanah Merah, Kerandang cuba mengelak ke tepi jalan dan membrek kereta, namun disebabkan jarak yang dekat menyebabkan dia melanggar mangsa,” katanya.

Mohd Zamri berkata, motosikal dan mangsa diseret sejauh beberapa meter sebelum kereta itu berhenti sepenuhnya. Kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di bahagian kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat. Ketika kejadian, mangsa tidak memakai topi keledar. Polis mendapati motosikal tersebut didaftarkan di atas nama bapa saudara mangsa dan tindakan saman akan dikeluarkan terhadap pemilik motosikal itu,” katanya sambil memberitahu mangsa beralamat di Kampung Beris Lampu Alor, Pisang, Kuala Besut di sini. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");