Membawang Hari Ini

Syura galas tugas berat

Selepas pertandingan nyanyian dangdut D’Academy Asia di Indonesia diperkenalkan tahun lalu, peminat negara seberang itu mula membuka mata terhadap penyanyi Malaysia terutama Shiha Zikir yang ketika itu menduduki tempat ketiga.

Keadaan itu membuatkan seorang lagi penyanyi tanah air, Syura, 30, mahu mengikut jejaknya dan ingin mengharumkan nama negara selepas terpilih untuk musim kedua program itu.

Syura berkata, dia tidak menyangka terpilih menyertai program realiti berpengaruh Indonesia itu bersama lima lagi penyanyi Malaysia.

Menurutnya, pihak Indosiar sendiri menghubunginya minggu lalu dan mengesahkan dia berjaya selepas menghadiri uji bakat yang diadakan di sini Julai lalu.

“Saya sebenarnya tidak sangka kerana lebih 40 penyanyi yang hadir uji bakat itu bukan calang-calang. Mereka terdiri daripada penyanyi yang berpengalaman dan ada asas kukuh dalam nyanyian.

“Lagipun, ketika uji bakat berlaku sedikit masalah apabila ‘minus one’ yang saya bawa rupa-rupanya mengandungi vokal. Jadi, saya terpaksa keluar dan mencari ‘minus one’ baru menyebabkan giliran saya ditolak ke giliran paling akhir.

“Namun, semua itu berbaloi kerana akhirnya mendapat perkhabaran gembira apabila berjaya dipilih,” katanya.

Selain Syura, lima lagi peserta yang bakal mewakili Malaysia ialah Asmidar serta bekas peserta program Dangdut Star, Elda Susanti, Roger, Jiwa, dan Zizi.

Dalam pada teruja, penyanyi berkenaan turut mengakui tanggungjawab yang digalas mereka kali ini nyata sangat berat.

Mana tidaknya, penyanyi juga bekas peserta program sama, Shiha berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan tempat ketiga.

“Tanggungjawab kami bertambah untuk musim ini kerana bukan saja perlu mengatasi pencapaian wakil Malaysia musim lalu, penambahan dua negara bertanding iaitu Thailand dan Timor Leste pasti sukar.

“Bagaimanapun, saya sendiri sudah meminta banyak petua daripada Shiha sendiri dan dapat gambaran situasi pertandingan itu nanti,” katanya.

Apa yang pasti, Syura akan menggunakan peluang ini untuk mempelajari pelbagai perkara baru dalam pertandingan itu nanti.

Lebih-lebih lagi lagu dangdut lebih sinonim dengan rakyat Indonesia dan mereka yang lebih memahami dan menghargainya.

“Saya tidak melihat program itu hanya sekadar pertandingan nyanyian semata-mata. Sebaliknya, saya mahu ke sana untuk belajar benda baru dan mendalami apa seni dangdut sebenarnya.

“Yalah, orang Malaysia selalu anggap dangdut itu mesti rancak dan seksi. Padahal, sebenarnya ada juga lagu dangdut yang bernada sedih dan dialunkan dengan perlahan,” katanya.

Syura dan lima peserta berkenaan bakal ke Indonesia pada 16 Oktober depan iaitu seminggu sebelum konsert pertama D’Academy Asia 2.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");