Membawang Hari Ini

Cabaran pendakwah alaf baru: Henti sifat meminta-minta

NAMA Rusydi Ramli Al-Jauhari mungkin tidak sepopular penderamah Ustaz Don Daniyal, Datuk Kazim Elias, Datuk Badli Shah Alauddin.

Namun, wajahnya acap kali dilihat di kaca televisyen manakala suaranya sering kedengaran di radio. Minatnya untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat sudah terbit semasa di bangku sekolah.

Menurut Rusydi, dia selalu menjadi pengacara dalam setiap aktiviti anjuran sekolahnya.

“Mengacara memberi keyakinan kepada saya bercakap di khalayak ramai.

“Setelah acap kali bercakap di depan khalayak, sikap malu saya makin lama makin terhakis,” katanya, baru-baru ini.

Pun begitu, katanya, cita-citanya bukanlah sebagai pendakwah, sebaliknya sangat teringin menganggotai pasukan keselamatan seperti polis atau tentera.

Namun, ibunya memasang niat melihat salah seorang daripada adik-beradiknya menceburi bidang agama.

“Akhirnya, saya mengalah dan melanjutkan pelajaran di sebuah maahad di Johor. Pada awalnya, jiwa saya memberontak kerana tidak meminati bidang itu.

“Namun, semakin lama mendalami bidang agama, saya semakin meminatinya dan mengambil keputusan kekal dalam bidang ini selepas keluarga mahu kepastian.

Tuntut keikhlasan

Lebih dua dekad, Rusydi mengakui cabaran paling besar adalah kebimbangan ‘berharap’ mengenai bayaran.

Menurutnya, apabila timbulnya perasaan tersebut dalam diri penceramah, ia bukan satu perkara yang baik kerana penceramah itu mengharapkan bayaran hasil daripada ceramah yang disampaikannya.

“Timbul perasaan yang mengharapkan bayaran akan menghakis sedikit keikhlasan seseorang penceramah.

“Apabila kita berdakwah, kita perlu tanam dalam hati, dakwah tersebut ikhlas kerana ALLAH SWT,” jelasnya.

Rusydi pernah melalui pengalaman sedemikian apabila dia menjadi pendakwah sepenuh masa selepas berhenti kerja di sebuah syarikat penerbitan.

Pernah terdetik di hatinya, dalam tempoh itu, dia hanya bergantung kepada bayaran ceramah sebagai sumber rezeki yang menjadi nafkah kepada keluarga.

“Ketika umrah tahun lalu, saya berdoa agar ALLAH SWT memberikan pekerjaan tetap dan Alhamdulillah, kini saya mempunyai kerjaya sebagai penasihat syariah di syarikat Helcent Group,” katanya.

Rusydi menasihatkan kumpulan penceramah supaya mencari pekerjaan atau melakukan perniagaan supaya memiliki pendapatan tetap.

“Jadi, tidak salah seseorang penceramah itu menjual produk keluaran mereka seperti kuih, minuman dan buku semasa sesi ceramah.

“Seperti orang lain, pendakwah juga memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka,” jelasnya.

Buka pusat pengajian Islam

Rusydi juga memasang niat membuka sebuah pusat pengajian agama di beberapa lokasi di seluruh negara untuk memberi peluang kepada masyarakat mempelajari Islam.

Impian itu sudah lama tersemat di hatinya namun tidak dapat direalisasikan atas faktor kewangan.

“Kewangan mencukupi perlu bagi memastikan operasi pusat pengajian berkenaan berjalan lancar,” katanya.

Menurutnya, kos bagi memastikan kelangsungan pusat pengajian tersebut bukanlah kecil kerana perlu membayar tenaga pengajar.

Justeru, Rusydi sedang merangka pelan terbaik untuk mengumpul dana kewangan bagi tujuan tersebut.

“Melaui perancangan itu, saya mungkin akan membuka beberapa kedai runcit untuk mengumpul sumber kewangan dan membangunkan pusat tersebut.

“Saya berdoa perkara ini akan dimakbulkan ALLAH SWT dan masyarakat tampil membantu merealisasikan projek ini,” katanya dengan penuh harapan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");