Perak Hari Ini

Desak Tindakan Tegas Terhadap Kumpulan Baju Merah

IPOH: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak hari ini mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap ‘kumpulan baju merah’ yang diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Ketuanya, Mohd Fitri Asmuni berkata, ia susulan tindakan biadap yang dilakukan oleh kumpulan berkenaan terhadap konvoi Bersih 5 ketika siri jelajah mereka yang diadakan sebanyak dua kali pada 1 dan 8 Oktober yang lalu di Perak dan Selangor.

Beliau turut mendakwa bahawa majoriti yang menyertai kumpulan baju merah berkenaan terdiri daripada ahli dan penyokong parti UMNO.

“Walaupun kita telah dengar daripada pimpinan tertinggi UMNO termasuk Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Khairy Jamaluddin yang menafikan penglibatan UMNO dengan baju merah tersebut, tetapi saya percaya bahawa ia disertai oleh kebanyakan penyokong dan ahli UMNO,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Justeru, pihaknya mendesak agar barisan kepimpinan tertinggi UMNO mengambil tindakan tegas terhadap ketua kumpulan baju merah berkenaan dan juga ahli-ahlinya.

“Kita mendesak supaya satu tindakan tegas diambil oleh UMNO terhadap Datuk Jamal sebagai satu pengajaran terhadap ahli mereka yang bersikap tidak wajar kepada orang awam,” katanya.

Beliau turut mendesak agar satu siasatan dijalankan oleh PDRM bukan sahaja terhadap mereka yang melakukan tindakan provokasi dan menendang motosikal konvoi Bersih 5, tetapi juga terhadap ahli kumpulan baju merah yang lain supaya perkara tersebut tidak akan berlaku dan berulang lagi pada masa akan datang.

“Kita juga percaya PDRM telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang konvoi Bersih 5 tersebut dan berharap PDRM akan terus bersikap profesional dalam mempertahankan undang-undang dan memberikan ruang demokrasi kepada semua pihak,” tambahnya.

Ujar Mohd Fitri lagi, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat dan beliau percaya lebih ramai pemimpin parti pembangkang yang lain akan melakukan perkara yang sama.

Terdahulu, pada sidang media yang sama, beliau turut memperkenalkan gelaran baharu terhadap kumpulan baju merah berkenaan menerusi hashtag #UMNOSamseng.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");