Membawang Hari Ini

Elly Mazlein kembali aktif

SETELAH lebih 10 tahun meninggalkan dunia nyanyian, penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Usah Ditambah Bara Tersimpan, Elly Mazlein mengakui agak gementar untuk membuat persembahan di pentas.

Bagaimanapun, demi menyahut cabaran dan mengubat rindunya pada bidang nyanyian, Elly yang kali terakhir menghasilkan album pada 2005 ini tekad menyertai Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

“Sebenarnya Elly sudah lama mahu kembali menyanyi dan teringin sangat untuk berada di pentas macam dulu-dulu, namun tidak ada ada peluang sehinggalah tawaran menyertai GV3 ini muncul.

“Walaupun agak gementar kerana lama tidak menyanyi di pentas besar begini dan persembahan pula dinilai juri profesional, Elly tekad untuk tidak mensia-siakan peluang ini,” katanya jujur.

Akui Elly, dia tidak pernah berkecil hati jika ada pihak tidak yakin dengan kemampuannya bersaing hingga ke pentas akhir, sebaliknya menjadikan kritikan itu sebagai pemangkin semangat menggandakan usaha.

“Elly terbuka dengan kritikan dan tidak pernah rasa terganggu kerana semua orang berhak mengeluarkan pendapat masing-masing.

“Apa yang penting, Elly sentiasa mempersembahkan yang terbaik untuk membuktikan kesungguhan dan komitmen setiap minggu,” tegasnya.

Memastikan agar dirinya tidak ketinggalan dan mampu memberi saingan terbaik, penyanyi yang kini aktif sebagai pelakon ini membuat latihan secukupnya.

“Setelah dua minggu berada di pentas GV3, Elly kini semakin yakin.

“Mulanya takut juga suara atau stamina sudah tidak macam dulu, tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Elly mula seronok menerima cabaran demi cabaran di GV3,” katanya yang mendapat pujian ramai menerusi persembahan lagu Berpisah Jua pada minggu kedua.

Berguru dengan bakat baharu

Menurut ibu kepada seorang cahaya mata ini, dia kini mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih vokal yang juga bakat baharu, Fitri Hiswady menggunakan teknik betul ketika menyanyi.

“Jika orang lain lebih selesa berguru dengan mereka yang lebih senior dan berpengalaman dalam industri, Elly memilih Fitri yang tidak kurang hebatnya.

“Dia tahu apa yang Elly perlukan dan banyak membantu dari segi persediaan vokal dan persembahan pentas sepanjang GV3 ini.

“Walaupun dianggap penyanyi senior, Elly tidak kisah berguru dengan mereka yang lebih muda malah tidak pernah memandang rendah keupayaan bakat baru kerana percaya mereka berkebolehan,” ujarnya.

Elly turut berkongsi perasaan terharunya apabila menyedari ramai peminat memberi sokongan luar biasa sepanjang menyertai GV3.

“Walaupun sudah lama tidak menyanyi, Elly tidak sangka masih ada peminat yang menyokong dan percaya dengan perjuangan Elly dalam GV3 ini.

“Bayangkan bagaimana mereka sanggup datang setiap minggu dan tunggu Elly sampai pagi setiap kali lepas konsert semata-mata untuk bertemu serta memberi kata semangat,” ujarnya sebak.

Melihat kepada perkembangan itu, kata Elly, selepas GV3 berakhir, dia berhasrat kembali semula menyanyi secara aktif.

“Sama ada menang atau tidak dalam GV3, Elly mahu kembali aktif menyanyi macam dulu demi membalas sokongan peminat.

“Buat permulaan, Elly akan ketengahkan kembali single Sabarlah Hati yang pernah dihasilkan dua tahun lalu, tetapi kurang mendapat perhatian kerana tiada promosi,” katanya yang banyak menolak tawaran berlakon kerana GV3.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");