Membawang Hari Ini

Ingin terus kekal, Haiza rancang strategi

KEHANGATAN program Gegar Vaganza untuk musim ketiga dilihat sebagai waktu tepat buat penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi untuk terus mengatur langkahnya agar terus kekal dalam dunia seni tanah air.

Mengulas lanjut mengenai perjalanan seninya ketika ini, Haiza yang juga terlibat sebagai salah seorang penyampai stesen radio kool.fm mengakui selain sibuk di konti, dia juga gigih mempromosikan single terbarunya, Tentang Cinta.

“Sebagai seorang penyanyi yang pernah beraksi di pentas Gegar Vaganza musim lalu, sudah pastinya saya mengharapkan fenomena musim ketiga ini terpalit kepada kami, yang pernah menyertai pertandingan sama sebelum ini.

“Lagu Tentang Cinta yang dirakamkan dengan mengeluarkan bajet sendiri adalah sebagai alternatif dan hadiah buat peminat yang menyokong perjalanan seni saya dari mula sehingga kini.

“Saya anggap begitu istimewa kerana selain menjadi buah tangan untuk peminat, lagu itu juga berentak Balada sebagai salah satu suntikan pembaharuan dalam profil seni saya secara peribadi.

“Ia sebagai salah satu strategi saya untuk terus survive dalam dunia hiburan. Rasanya sudah tiba masa untuk mencari kelainan dalam nyanyian, tidak hanya tertumpu kepada irama dangdut semata-mata.

“Namun itu tidak bermakna saya akan terus lupakan irama tersebut. Ia tetap menjadi kecintaan saya sampai bila-bila. Cuma untuk Tentang Cinta ini, saya mahukan sisi berbeza dari lagu-lagu yang pernah saya rakam sebelum ini,” ujarnya yang mengakui sudah pun merancang untuk merakamkan single terbaru dalam tempoh terdekat.

Kata Haiza, perancangan untuk rakam lagu baharu itu sudah ada dan dia juga bakal kembali kepada muzik dangdut.

“Materialnya sudah siap, tinggal lagi kami perlu ke studio untuk proses rakaman sahaja. Insya-ALLAH mengikut perancangan, saya mahu lancarkan ia sama ada pada hujung atau awal tahun hadapan.

“Manakala untuk Tentang Cinta pula, saya tidaklah meletakkan harapan setinggi gunung. Cukup andai lagu tersebut mendapat tempat di kalangan pendengar dan para peminat saya khususnya. Saya sendiri masih lagi belajar mendendangkan lagu berentak balada dengan baik.

“Jadi mungkin permulaannya dan harap semua berpuas hati. Masa bertanding dulu, ramai mahu saya keluarkan lagu rentak sedemikian,” ujarnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");