Sukan Hari Ini

Janji gawang tak bolos

Shah Alam: Beberapa hari menjelang sepak mula saingan final Piala Malaysia pastinya membuatkan dua penjaga gol utama Selangor – Khairul Azhan Khalid dan Noorazlan Razali (gambar) – tidak tidur lena.

Kedua-duanya sudah tentu mengidamkan aksi di pentas final itu dengan masing-masing berazam memikat hati pengendali pasukan K Gunalan agar terpilih bermain pada malam kemuncak itu.

Berdasarkan prestasi terkini Khairul Azhan ketika bersama skuad kebangsaan terutama pada aksi persahabatan menentang Singapura tempoh hari boleh disifatkan bekas penjaga gol Pahang itu kemungkinan menjadi pilihan Gunalan.

Namun Noorazlan beraksi cemerlang dalam aksi terakhir Liga Super bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Sabtu lalu banyak menggagalkan percubaan merbahaya lawan.

Lantas, perkembangan positif itu bakal mencetuskan bahang persaingan sengit antara kedua-dua penjaga gol berkaliber itu.

Begitupun, Noorazlan yang menjadi tunjang belakang kejayaan Selangor, menamatkan misi ke-33 musim lalu seolah-olah mengibarkan ‘bendera putih’ lebih awal apabila menyifatkan Khairul Azhan memiliki sedikit kelebihan.

“Saya tetap gembira kerana diberi kepercayaan minggu lalu (bertemu Johor DT) yang membantu meningkatkan keyakinan saya.

“Namun, pada pandangan saya, Yan (Khairul Azhan) ada banyak kelebihan kerana dia baharu saja pulang daripada latihan pusat kebangsaan dan masih segar dengan aksi antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini, semalam.

Jelasnya, sekiranya dia menjadi pilihan barisan kejurulatihan, Noorazlan berjanji untuk memastikan gawangnya kekal kebal tanpa dibolosi rangkaian penyerang Kedah.

“Tentu sekali saya akan beri aksi terbaik sekiranya diberi tanggungjawab itu. Apapun, sama ada saya atau Yan, rasanya kami akan berikan yang terbaik dalam memastikan gawang tidak dibolosi,” katanya.

-harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");