Isu Panas

Meragukan, sembunyikan sesuatu

ALOR SETAR: Pemuda Pas Kedah tidak meyakini penjelasan yang diberikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berhubung isu penyerahan tanah strategik di Langkawi kepada syarikat swasta untuk membina kondominium 60 tingkat.

Ketua Penerangannya, Nurul Amin Hamid berkata, seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan menteri besar dengan menyebut kriteria-kriteria yang diambil kira oleh kerajaan dalam mempertimbangkan kelulusan sesuatu projek di atas tanah kerajaan, sedangkan itu bukanlah pertikaian atau keraguan yang tersebar ketika ini.

“Apa maksud sebenar beliau daripada istilah ‘kelulusan dasar’? Apakah ia bermaksud sekiranya pemaju memenuhi semua syarat perundangan dan prosedur pihak berkuasa tempatan atau agensi-agensi sepatutnya, barulah mereka boleh meneruskan projek tersebut.

“Kita tertanya-tanya kenapa proses kelulusan kepada syarikat ini tidak dimulakan daripada bawah, sepertimana yang ditetapkan dalam prosedur biasa kebenaran merancang. Kelulusan ini bersifat segera dan mengandungi faktor mempengaruhi yang meragukan,” katanya.

Menurutnya, tidak ada relevansi pembinaan kediaman mewah tersebut dengan realiti keperluan dan kemampuan penduduk Langkawi atau negeri ini.

“Rakyat tidak mendapat sebarang manfaat, sebaliknya akan membina jurang sosioekonomi Yan kian melebar.

“Kerajaan patut mengambil iktibar daripada projek padang golf dan kediaman mewah 99 East bernilai RM1.9 bilion yang diluluskan semasa zaman Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar Kedah dan Datuk Tajul Urus Mat Zain (Exco) menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menguruskan projek itu,” katanya.

Beliau berkata, akibat projek tersebut kerajaan negeri terpaksa mencari tanah sebagai ganti tanah rizab Melayu yang dikorbankan untuk melayani kehendak pelabur dan golongan kaya di negeri ini.

“Kerajaan melalui GLC juga terpaksa menanggung beban, termasuk membayar premium tanah tersebut akibat kecuaian perjanjian usahasama yang menekan pihak kerajaan berbanding keuntungan yang bakal dikaut oleh pihak swasta.

“Ironinya projek 99 East itu juga direncanakan menjelang PRU12 seperti projek terbaru ini. Apakah sebenarnya matlamat tersirat daripada langkah terbaru yang muncul tiba-tiba ini,” katanya.

Selain premium tanah, beliau turut mempersoalkan apakah terdapat balasan atau pulangan tertentu kepada kerajaan negeri dengan gadaian sebesar itu.

“Ramai yang sangsi bahawa ini adalah projek anugerah untuk kepentingan politik BN Kedah.

“Rakyat sudah muak dengan budaya rasuah yang menjadi tabiat curang ahli-ahli politik Umno Kedah dalam banyak projek di negeri ini sejak puluhan tahun lalu.

Katanya, sekiranya ia sudah melalui proses kebenaran merancang sebagaimana projek lain, menteri besar bolehlah berterus terang secara terperinci mengenainya tanpa perlu teragak-agak.

“Kami melihat semua projek yang diisytiharkan sebagai AkuJanji BN Kedah pada PRU13 lalu belum lagi dilaksanakan, tiba-tiba muncul pula projek mega baharu, termasuk yang berkaitan konsesi air yang dilihat sebagai sumber dana pilihan raya untuk BN.

“Kerana itu juga barangkali Umno dan BN terdesak untuk menukar Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Ahmad Bashah sebagai menteri besar agar segala kelulusan berkaitan dapat disegerakan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");