Membawang Hari Ini

Puteri Aishah mahu sambung pengajian

KUALA LUMPUR: Pelakon baharu, Puteri Aishah Sulaiman, 22, menyimpan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, namun ingin terlebih dulu mengumpul pengalaman dalam bidang seni.

Pernah menjadi guru pelatih dan memiliki Diploma Pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), kelebihan menguasai bahasa itu memberi manfaat kepadanya untuk meneroka pelbagai cabang kerjaya.

Gadis yang mesra disapa Aishah itu, berkata sebagai orang baharu, dirinya perlu berusaha gigih meskipun perjalanannya tidak sukar sejak mula serius berlakon, akhir tahun lalu.

“Ilmu boleh diperoleh di mana-mana saja asalkan kita berusaha dan memanfaatkan segala tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman.

“Masih banyak yang perlu saya pelajari, terutama ilmu lakonan dan produksi kerana kedua-duanya saling berkaitan. Bagaimanapun, impian menyambung TESL ke peringkat lebih tinggi belum padam.

“Mungkin bukan sekarang memandangkan jadual lakonan saya semakin padat. Syukur saya terus mendapat kepercayaan penerbit biarpun ketika mula beraksi di depan kamera, saya agak kekok hingga pernah menangis,” kata bekas peserta Dewi Remaja 2015/2016 itu.

Namanya mula diperkatakan tahun lalu apabila gambar lamanya dengan kapsyen ‘Cikgu Aishah’ ketika menjadi guru pelatih di sebuah sekolah rendah di Lembah Klang sekitar tahun 2014 menjadi viral, gara-gara kononnya bapa seorang murid mengirimkan surat cinta.

Biarpun tidak membawa pulang sebarang gelaran atau berada pada kedudukan lima teratas ketika menyertai Dewi Remaja 2015/2016, rezeki gadis itu dalam lakonan mencurah-curah.

Terbaharu, Aishah digandingkan bersama Remy Ishak dalam filem arahan Kabir Bhatia berjudul Pulang.

Terdahulu, sebagai persediaan untuk mendapatkan penghayatan watak, Aishah ‘berguru’ dengan aktres berpengalaman, Fauziah Nawi.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");