Membawang Hari Ini

Rem: ‘Saya masih aktif seni’

‘HILANG’ daripada sebarang publisiti membuatkan nama Rem terus dipandang sepi.

Pun begitu, cinta anak jati Bumi Kenyalang ini terhadap dunia nyanyian tidak pernah luntur.

Malah, pemilik nama sebenar Ramzani Kassim ini, mengakui masih lagi aktif dalam industri.

“Rasanya, sesiapa yang kenal saya pasti tahu saya jenis bagaimana.

“Saya memang akan ‘duduk diam’ sekiranya tiada sebarang produk atau cerita untuk dipromosikan, namun itu bukanlah bermakna saya tidak terbabit langsung dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, rezeki saya masih ada dalam industri,” katanya baru-baru ini.

Penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Semua Orang Tahu (SOT) ini, mampu menarik nafas lega kerana tawaran persembahan tidak putus.

“Alhamdulillah, tawaran menyanyi sentiasa ada.

“Saya kerap dijemput untuk menjayakan persembahan pada acara dan majlis tertutup.

“Jadi, kalau orang kata saya merajuk sehingga melupakan terus bidang nyanyian, itu tidak betul,” katanya.

Bukan itu sahaja, selebriti berusia 42 tahun ini juga, sibuk menguruskan perniagaan restoran yang diusahakan bersama kakaknya, Mohteah Kassim.

Katanya, keadaan itu juga menuntutnya untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Sibu, Sarawak.

“Saya tidak tahu kenapa, tetapi ramai yang beranggapan saya sudah pulang ke kampung halaman sepanjang saya menyepi dalam industri.

“Hakikatnya, saya sudah menetap di Kuala Lumpur selama 24 tahun.

“Dan, kepulangan saya ke Sarawak hanya kerana membantu menguruskan perniagaan di sana,” katanya.

Dari sisi kerjayanya pula, kini Rem dalam proses menyiapkan single terbarunya, Sinar Kasih ciptaan Anuar Razak.

Bagaimanapun, pelantun lagu Selingkar Kasih ini terpaksa menangguhkan seketika pelancaran single tersebut lantaran terlibat dalam program realiti, Gegar Vaganza 3.

“Saya tidak mahu main-main dalam menghasilkan lagu. Sudah tentunya, saya mahukan yang terbaik.

“Ini kerana, saya tahu, bukan mudah untuk mencari lagu yang berkualiti.

“Lagipun, bukan senang hendak memuaskan semua hati pendengar,” katanya.

Kali terakhir Rem muncul dengan single terbaru ialah Selalu Ada pada 2009 dan Nanti Bila Kaya (2012).

Sebelum itu, Artis Baharu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 1998 ini, pernah menghasilkan empat album iaitu REM (1997), Impian Cinta (1999), Setiap Waktu (2002) dan Satu Suara (2004).

Platform terbaik

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pembabitan dalam GV3, Rem menyifatkan ia sebagai satu langkah memperkenalkan diri kepada generasi hari ini.

“Ada yang datang tegur saya, mereka ini masih muda belia dan berusia belasan tahun tetapi kenal saya.

“Hairan juga dibuatnya dan apabila ditanya, rupa-rupanya mereka suka menyanyikan lagu saya ketika berkaraoke.

“Alhamdulillah, itu juga rezeki saya. Jujurnya, saya terharu dan bersyukur kerana diberi peluang.

“Jadi, mungkin program ini boleh menjadi platform saya tampil mendedahkan identiti di sebalik populariti lagu kepada generasi baharu,” katanya.

Lebih menggembirakan, pelantun lagu Erti Cinta beranggapan program realiti ini merupakan platform terbaik kembali semula dalam industri, selain membantu bertemu semula dengan teman-teman seperjuangan.

“Alhamdulillah. Inilah jalan diatur ALLAH SWT. Lagipun, ramai peminat saya mendesak menyertai GV3, jadi apa salah jika saya mencuba?

“Dan sebenarnya, saya sangat seronok apabila dapat melibatkan diri dalam GV3.

“Sebab itu, buat masa ini, saya tidak rasakan program ini persaingan,” katanya.

Selain Rem, program realiti itu turut menampilkan Ameng (Spring), G-Mie (Screen), Shidi (Data), Zarul (Umbrella), Razis Ismail, Siti sarah, Nora, Azharina Azhar, Elly Mazlein, Zur Eda dan Intan Sarafina.

GV3 bakal bersiaran dari Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama lapan minggu setiap Ahad, jam 9 malam bermula semalam.

Ia juga disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");